Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali membidas Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang disifatkannya sebagai angkuh.
Menurutnya, pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu lupa dia pernah meminta bantuan DAP semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota di Kluang dua tahun lalu.
“Kenyataan Onn Hafiz Ghazi sangat angkuh. Ingat..semasa Syed Hussien Syed Abdullah bertanding di Mahkota, merayu-rayu kamu minta DAP tolong,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Katanya, BN juga tidak seharusnya melupakan sejarah kerjasama politik yang pernah terjalin dengan menggunakan tanda pagar #DudukSemeja dan #MelawanLupa sebagai sindiran terhadap kenyataan pemimpin BN itu.
Semalam Onn Hafiz berkata, dia lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada terpaksa "duduk semeja" dengan parti tersebut dalam pentadbiran kerajaan negeri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Malah, hari ini, katanya kerjasama antara BN khususnya Umno dan DAP di Johor tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.
'Rakyat mahu pentadbiran stabil, bukan soal siapa duduk semeja'

Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan hari ini, Sheikh Umar menegaskan bahawa keutamaan masyarakat dalam pilihan raya adalah untuk melihat sebuah pentadbiran yang stabil demi kelangsungan pembangunan.
“Rakyat mengharapkan pemimpin menawarkan penyelesaian masalah, bukan memperbesarkan perbezaan politik yang akhirnya merugikan.
“Keutamaan tertinggi mana-mana pemimpin politik seharusnya bukanlah soal siapa yang 'duduk semeja' dengannya, tetapi bagaimana memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pentadbiran yang berkesan, stabil dan berintegriti,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu menambah bahawa kestabilan politik amat penting bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang.
Tambah Sheikh Umar, seorang pemimpin perlu menolak perbezaan kecil sebaliknya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang akan menerima manfaat daripada pentadbiran berkesan, stabil dan berintegriti.
“Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah membuktikan parti yang mempunyai latar belakang berbeza mampu bekerjasama demi kestabilan negara, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama tersebut bukan bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara, tetapi menunjukkan kematangan untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti,” katanya.
Sehubungan itu, dia berkata DAP dan Pakatan Harapan (PH) Johor sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa politik harus menjadi medan untuk membina, bukan memecah-belahkan.
“Kami menghormati mandat rakyat, institusi demokrasi serta perananan semua pihak dalam membangunkan Johor sebagai sebuah negeri yang maju, inklusif dan makmur.
“Justeru, perbincangan mengenai masa depan Johor perlu tertumpu kepada dasar, prestasi dan tawaran kepada rakyat dan bukan retorik yang berisiko menjarakkan ruang kerjasama demi kepentingan negeri dan negara,” katanya.
Kenyataan Onn Hafiz itu turut mengundang respons sinis daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang mengingatkan bahawa di peringkat Persekutuan,presiden Umno merangkap Pengerusi BN sendiri, Ahmad Zahid Hamidi, sentiasa duduk bersebelahan dengannya dalam mesyuarat jemaah menteri setiap minggu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.
Pentadbiran Persekutuan pada masa ini ditumpukan di bawah kerangka kerajaan madani yang menggabungkan kerjasama pelbagai parti termasuk PH dan BN.





