Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meramalkan PKR bakal menghadapi risiko besar untuk lenyap selepas era Anwar Ibrahim jika parti itu terus mengekalkan struktur birokratik lama dan gagal melakukan pembaharuan.
Bercakap kepada pemberita selepas siri kedua majlis Jelajah Kancil di Hotel Seri Malaysia, di Ayer Keroh, Melaka, malam tadi, Rafizi menegaskan bahawa fokus PKR kini terlalu berpaksikan kepada kelangsungan politik Anwar semata-mata.
"Sebab keseluruhan fokus PKR ialah untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri untuk penggal kedua.
"Kalau tengok kepada lapisan kepimpinan seterusnya, pandangan saya sebagai bekas timbalan presiden dan sekarang ini sebagai pesaing, ada percanggahan yang besar contohnya di antara Bersama dengan PKR," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa PKR kini terpaksa bergantung kepada barisan kepimpinan lama ekoran ketiadaan pelan penggantian yang jelas bagi menarik minat golongan muda.
Dia juga menamakan beberapa tokoh kanan parti itu yang kembali diketengahkan bagi mengisi jawatan penting.
"PKR dia terbalik. Dia sebenarnya terpaksa melantik balik yang lama-lama. Terbaru Dr Zaliha (Mustapa), Saifuddin (Nasution) dilantik sebagai naib presiden., dan juga bila naratif dan strategi itu berkisar kepada Anwar semata-mata, risiko itu besar kalau contohnya dia tidak menjadi perdana menteri selepas ini.
"Kalau contohnya dia masih lagi nak kekal menerajui PKR oleh kerana vakum itu tidak boleh diisi, maka tawaran dia itu lebih lemah kepada pengundi daripada tawaran pesaing-pesaing," katanya.
Menurut Rafizi, strategi meletakkan 100 peratus masa depan parti bersandarkan kepada Anwar untuk penggal kedua adalah langkah politik yang amat berisiko kerana tempoh tersebut mempunyai had masa yang tersendiri.
"Dia tak ada pembaharuan. Dia kalau sebelum ini tawaran kepada rakyat ialah kita nak tengok Anwar menjadi perdana menteri. Sekarang dah jadi perdana menteri, jadi kenapa ada lagi?

"Jadi strategik, naratif yang menumpukan 100 peratus masa depan PKR itu kepada Anwar menjadi perdana menteri penggal kedua sebenarnya adalah cukup berisiko.
"Kalau menang, tak apa, Tapi, itu hanya lanjutan tambahan hayat sebab satu penggal ya, lepas tu tak boleh dah. Dan apa yang akan berlaku selepas itu?" soalnya.
Rafizi yang kini menggerakkan wadah politik baru melalui Parti Bersama menjelaskan bahawa masa depan mana-mana parti politik kini bergantung sepenuhnya kepada keupayaan mereka mendekati pengundi baru, khususnya generasi muda.
Dia mendakwa struktur dalaman PKR kini terlalu rigid sehinggakan menyekat potensi pemimpin pelapis untuk menonjol.
"Kita tengok, cuma saya ingat masa depan mana-mana parti, bukan saja PKR, bergantung kepada sekuat mana kita menjadi daya tarikan kepada Gen Z. Jadi cabaran untuk semua. Jadi, PKR terpaksa berdepan dengan parti-parti lain yang lebih agresif untuk menarik Gen Z dan millennial.

"Dan setakat ini saya rasa PKR dan daripada pengalaman kita mengenai PKR sebelum inilah, saya rasa PKR akan ada bermasalah untuk menarik Gen Z dan millennial kerana keseluruhan struktur PKR itu telah menjadi begitu birokratik dan berlapis dan budaya politiknya juga bermakna yang muda-muda ini sangat payah nak naik," katanya.
Berbeza dengan PKR, Rafizi berkata Bersama dibentuk khusus dengan pendekatan mendidik dan menampilkan pimpinan muda ke hadapan sebagai persediaan mendepani pilihan raya.
Terdahulu, semalam lebih 300 orang terdiri daripada bekas ahli PKR menghadiri program jelajah tersebut.
Sebelum ini, Rafizi bersama bekas naib presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar daripada PKR dan kerusi Parlimen masing-masing pada pertengahan Mei lalu.
Sebelum keluar parti, Rafizi yang kalah dalam mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar dilaporkan semakin tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi berhubung hala tuju ekonomi negara dan pengurusan parti yang didakwanya semakin tersasar daripada agenda reformasi asal.





