Perdana Menteri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati dan menawarkan bantuan kepada Filipina yang dilanda gempa bumi awal pagi ini.
“Saya ingin menzahirkan kebimbangan paling mendalam saya berikutan gempa bumi kuat yang melanda luar pantai selatan Filipina awal pagi ini.
“Ingatan dan doa kami adalah bersama rakyat Filipina. Malaysia bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan yang mungkin diperlukan,” katanya.
Dilaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut selepas gempa bumi luar pesisir 7.8 magnitud melanda selatan Filipina.


Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina, gempa bumi tektonik itu berlaku pada 7:37 pagi, waktu tempatan pada kedalaman 33 kilometer (km) dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di Wilayah Sarangani di Pulau Mindanao, berhampiran General Santos, dengan populasi kira-kira 700,000.
Institut itu memaklumkan ombak tertinggi mencecah 1.4 meter. Media tempatan melaporkan beberapa bangunan runtuh dan bekalan elektrik terputus.
Menulis di media sosial, Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Filipina adalah rakan karib dan rakan kongsi Asean.
“Saya berdoa demi keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, mengharapkan kekuatan dan keberanian buat mereka menempuh hari-hari yang sukar mendatang,” katanya.
Dia juga berkata peka terhadap kesan yang dirasai lebih dekat dengan tanah air, dengan gegaran dirasai di beberapa bahagian di Sabah, Malaysia.
“Saya memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang memantau situasi ini dengan teliti, dan perkhidmatan kecemasan kami berada dalam kesiapsiagaan penuh,” katanya.





