Sebuah Mahkamah Majistret di Balik Pulau hari ini menetapkan 10 Sept ini untuk menyambung bicara kes Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.
Majistret Chia Huey Ting menetapkan tarikh itu bagi memberikan masa kepada pihak pendakwaan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), selepas pengadu Nur Hidayah Abd Jabar, 35, yang juga isteri tertuduh, memaklumkan bahawa beliau telah menarik balik laporan polis pertama dan tidak mahu kes itu diteruskan.
Chia dalam penghakimannya berkata tindakan pengadu menarik balik laporan polis tidak secara automatik bermakna prosiding jenayah perlu dihentikan kerana pihak pendakwaan mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan.
“Pihak pendakwaan berhak merujuk perkara ini kepada AGC untuk arahan lanjut, memandangkan ini baru hari pertama perbicaraan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affendi Zulkifly berkata pihak pendakwaan perlu merujuk perkara itu kepada AGC bagi mendapatkan arahan sama ada kes berkenaan perlu diteruskan susulan keterangan pengadu.
Peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili Fahmi, bagaimanapun berhujah bahawa kes itu tidak lagi mempunyai asas selepas pengadu berulang kali menyatakan kejadian berkenaan berpunca daripada salah faham, selain telah menarik balik laporan polis dan tidak mahu kes diteruskan.
Terdahulu, Nur Hidayah dalam keterangannya berkata berlaku pertengkaran fizikal antara beliau dengan Fahmi sehingga menyebabkan kecederaan pada matanya, namun mendakwa suaminya tidak berniat mencederakannya.
Beliau turut mengesahkan membuat laporan polis kedua pada hari sama bagi menarik balik laporan terdahulu, diikuti satu lagi laporan kerana tidak berpuas hati perkara itu masih diteruskan.
Pada 27 Feb lepas, Fahmi, 35, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nur Hidayah di Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas, kira-kira 10 malam, 22 Feb.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.





