Pelakon, Nabila Huda menegaskan adegan intim yang dilakonkannya dalam drama terbaharu berjudul Cela hanyalah sebahagian daripada tuntutan watak dan dilakukan bagi menghidupkan karakter Datuk Anees.
Artikel Berkaitan: ‘Dapat Berlakon Dengan Nabila Huda, Ibarat Mimpi Jadi Realiti’ – Hun Haqeem
Artikel Berkaitan: Nabila Huda Tak Sabar Nak Hitamkan Semula Rambut ‘Blonde’ – ‘Nampak Pelik, Gaya Ini Hanya Untuk Watak’
Setiap adegan ada konteks

Nabila, 41, berkata, setiap adegan yang dipaparkan mempunyai sebab, tujuan dan konteks tersendiri dalam mengembangkan jalan cerita drama berkenaan.
Sebagai seorang pelakon, apabila saya menjayakan sesebuah adegan, saya bukan lagi Nabila Huda. Saya adalah watak itu dan dalam Cela saya ialah Datuk Anees.
Setiap adegan yang dilakukan mempunyai sebab, tujuan dan konteks. Bukan saya nak pergi set penggambaran suka-suka nak sentuh anak orang. Setiap adegan ada jalan cerita dan dilakukan mengikut had.
Saya dan Hun sama-sama profesional. Kami berdua akan berbincang dahulu serta memahami tuntutan watak dan adegan berkenaan. Apabila kamera ‘on’, apa yang terjadi itu bukan diri saya.
Kadang-kadang penonton yang melihat adegan bersentuhan, mereka hanya fokus kepada perkara tersebut sahaja. Tetapi saya sebagai pelakon, saya lihat ‘intention’ di sebalik adegan itu.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana drama Cela yang berlangsung di TGV KLCC, Rabu lalu.
Penonton sekarang bijak

Dalam pada itu, Nabila percaya penonton sekarang semakin matang dan bijak dalam menilai sesebuah karya, termasuk memahami perbezaan antara watak dan kehidupan sebenar pelakon.
Saya juga percaya peminat dan penonton di luar sana yang mengenali saya, mereka sudah faham tugas saya sebagai pelakon.
Saya pergi ke set untuk bekerja, bukan untuk beromantik. Apabila pengarah kata ‘cut’, saya sudah kembali kepada diri saya yang asli.
Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Hun Haqeem buat kali pertama, Nabila mengakui mereka pada awalnya berdepan sedikit rasa kekok memandangkan watak yang dibawakan mempunyai hubungan yang kompleks.
Ini merupakan kali pertama saya bekerja dengan Hun dan kami terus diberikan hubungan watak yang sangat mencabar kerana hubungan Anees dan Kaer sangat kompleks serta intim.
Pada awalnya, sudah tentu saya rasa kekok dan sangat gementar apabila perlu melakukan babak berdua dengan Hun. Hun pun sebenarnya sangat gementar.
Tetapi selepas kami memahami babak, mengetahui batas masing-masing dan faham apa yang pengarah mahukan, semuanya menjadi kerja.
Selain Nabila dan Hun, siri 12 episod yang bakal ditayangkan menerusi platform penstriman Viu itu turut menampilkan Zarif Ghazzi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Elyyza Azizi dan Zain Saidin.
The post ‘Saya Bukan Suka-Suka Sentuh Anak Orang, Setiap Adegan Ada Konteks’ – Nabila Huda Ulas Babak Intim first appeared on OHBULAN!.





