Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat kesilapan jika gagal melaksanakan enam langkah yang dicadangkannya kepada perdana menteri.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, dia berkata langkah berkenaan – yang dibangkitkan semasa pertemuan pada 20 Julai di pejabat Anwar – diperlukan bagi meringankan tekanan yang dihadapi perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta orang ramai dalam keadaan ekonomi yang mencabar susulan kenaikan harga bahan api dan pemotongan harga oleh pesaing luar negara.
“Ini amat perlu demi survival 1.1 juta PMKS kepada negara yang memainkan perananan penting dengan sumbangan 38 peratus kepada KDNK atau GDP Malaysia yang ingin dinaikkan kepada 40 peratus menjelang 2030; menjanakan 48 peratus pekerjaan negara dan hampir 13 peratus daripada jumlah eksport Malaysia,” kata bekas menterikewangan itu.
Enam langkah yang dicadangkan oleh Lim termasuk menaikkan nilai ambang E-Invoicing kepada hasil tahunan perniagaan sebanyak RM5 juta serta menubuhkan tribunal pembayar cukai khas bagi individu dan PMKS.
Dia turut menggesa agar pengambilan pekerja migran diperluas dan pemprosesannya didigitalkan secara menyeluruh melalui transaksi dalam talian, di samping memansuhkan syarat kepada majikan untuk membayar caruman KWSP sebanyak dua peratus bagi pekerja migran.
Dari segi pembiayaan, dia menggesa penangguhan bayaran faedah (moratorium) selama satu tahun kepada PMKS bagi pinjaman sedia ada, serta meluluskan RM5 bilion pinjaman tanpa faedah dan pembiayaan tanpa carian cagaran untuk 100,000 PMKS yang dihadkan kepada RM50,000 pertama bagi setiap perniagaan.
Lim berhujah bahawa kos bagi enam langkah ini kebanyakannya akan ditanggung oleh industri perbankan, yang melihat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 13.5 peratus daripada RM48.3 bilion pada 2024 kepada RM54.8 bilion pada 2025.
“Tidak ada industri atau sektor dalam Malaysia yang memiliki prestasi keuntungan yang begitu tinggi.
“Industri bank harus menghulurkan tangan membantu pelanggan PMKS yang selama ini memberikan mereka keuntungan yang lumayan,” katanya.
Menurut hantaran Lim, setiausaha peribadi Anwar, Johan Mahmood Merican, memberikan maklum balas kepada Lim melalui surat bertarikh 23 Julai, yang turut merujuk surat terdahulu daripadanya yang bertarikh 8 April.
Johan dilaporkan mengesahkan semula komitmen kerajaan terhadap sektor PMKS dan menggariskan beberapa langkah yang dilaksanakan kerajaan, seperti menyediakan RM5 bilion jaminan pembiayaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan menangguhkan pelaksanaan Fasa 4 bagi e-invois.
Dia berkata kerajaan akan mengkaji cadangan Lim secara menyeluruh, namun Lim menyifatkan jawapan tersebut sebagai satu "penolakan" terhadap cadangannya.





