Setiap parti baik Pakatan Harapan (PH), BN dan PN mempunyai "saham" terhadap apa yang berlaku dalam suruhanjaya siasatan diraja (RCI) Tabung Haji (TH), kata pemimpin Bersama, Rafizi Ramli.
“Setiap gabungan parti politik (PH, BN, PN) ada saham dalam apa yang berlaku: penyelewengan dan salah urus tadbir berlaku di bawah BN, sehingga rizab Tabung Haji jadi negatif dan kerugian berbilion ringgit.
"PAS mensucikan perkara itu malah mengulangi dakyah aset Tabung Haji dijual kepada bukan Islam, nak bekap Umno.
"PN tak bayar RM1.5b yang sepatutnya dibayar kpd TH atas alasan Covid, tapi guna wang buat Jana Wibawa boleh pula.
"PH peram laporan RCI Tabung Haji selama tiga tahun untuk jaga hati Umno, hanya buat keluar bila saya cuit untuk tunjukkan kompromi politik yang telah dibuat," dakwanya dalam di Facebook hari ini.
Terdahulu hari ini, sidang khas parlimen diadakan bagi membebaskan laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum 29 Jul lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan membentangkan penerangan berkenaan laporan RCI itu di Dewan Rakyat susulan ketiadaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan hospital.
Wakil rakyat pembangkang pula memboikotnya selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas yang berlangsung, hari ini, ditolak.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan mahu sidang itu ditangguh kerana Anwar tidak dapat hadir hari ini.
Sementara itu, Rafizi berkata, PH juga gagal membayar RM11.5 bilion kepada TH mengikut perjanjian suku Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada Mei 2026.
“PH pun tak bayar RM11.5 bilion yang patut dilunaskan kepada TH ikut perjanjian sukuk UJSB pada Mei 2026, sebaliknya roll over komitmen itu ke 2036. Covid tak ada dah nak buat alasan, agaknya apa alasan sekarang.
"Kita sama-sama tengok perbahasan hari ini ada sentuh perkara-perkara ini ke tidak. Kasihan orang-orang TH bertungkus lumus nak selesaikan masalah yang ditinggalkan, bila orang politik datang dan pergi tapi tak fokus kepada pemulihan Tabung Haji," kata Rafizi lagi.





