Pelakon Ainee Mustafa meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila lakonannya dalam filem terbaharu, Tiket Sehala meraih pujian ramai.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Noki Tak Kecil Hati – ‘Memang Kami Sudah Bincang Untuk Beri Tumpuan Pada Watak Ainee Mustafa’
Artikel Berkaitan: Ainee Mustafa Dedah Industri Kekurangan Pelakon Aksi Wanita
Ainee bersyukur

Ketika ditemui , Ainee atau nama sebenarnya Nur Aini Hayati Mustafa, 29, berkata, sewaktu menjayakan filem tersebut dia telah memberikan usaha yang terbaik bagi memastikan watak Putri memberi impak kepada penonton.
Alhamdulillah, saya cuba sehabis baik untuk amanah dan tanggungjawab ini.
Tapi dalam masa yang sama, tak lupa juga ramai yang berada di belakang yang tolong saya menjayakan watak ini.
Semestinya saya gembira bila orang memuji lakonan saya. Dalam masa yang sama, itu juga adalah salah satu benchmark untuk saya menjadi lebih baik.
Ainee berkata demikian ketika ditemui pada sesi ‘Meet & Greet’ barisan pelakon Tiket Sehala bersama penunggang motosikal Ducati Bikes, di Central i-City Shah Alam pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ainee berkata, dia menerima setiap komen yang diberikan oleh penonton meskipun terdapat segelintir daripada mereka mendakwa lakonannya lebih menyerlah daripada pelakon-pelakon lain.
Tambah jurulatih taekwondo itu, dia tidak akan mampu memberikan lakonan yang berkesan tanpa pertolongan pelakon-pelakon lain dan juga pihak produksi.
Saya tak nampak perbandingan itu kerana saya tak buat benda ini seorang diri, Jadi, saya tak boleh katakan ini adalah hasil kerja keras saya sahaja.
Seeloknya perbandingan itu tidak perlu. Setiap orang dalam filem ini membantu saya menjayakan watak Putri.
Tapi bagi saya perbandingan ini perkara biasa dan kita tak boleh nak tutup mulut orang. Itu adalah platform untuk mereka bercakap.
Bagi saya setiap orang ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.
Meet & Greet

Sementara itu, Ainee turut meluahkan rasa teruja apabila dapat bersama-sama menjayakan siri jelajah promosi filem berkenaan anjuran MADANI TRX (Madani Greatlink Sdn Bhd) baru-baru ini.
Program berkenaan melibatkan kira-kira 60 penunggang motosikal berkuasa tinggi, Ducati Official Club Malaysia (DOCM) bersama para pelakon filem tersebut.
Selain itu, 70 tiket percuma juga diberikan dan aktiviti menarik juga disediakan kepada para pengunjung sebagai usaha untuk menyokong karya tempatan.
Pengerusi Madani Greatlink, Hairi Jasadi berkata, program tersebut diadakan sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan lagi filem berkenaan kepada masyarakat.
Central i-City ini merupakan kesinambungan siri jelajah yang sebelum ini berlangsung di MADANI TRX, Jalan Imbi.
Sambutan terhadap konvoi dan program ini amat menggalakkan, termasuk daripada peminat automotif serta pembikin filem tempatan.
‘Gold Bar Challenge’ turut diperkenalkan dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM51,000 kepada pengunjung yang berjaya mengagkat jongkong emas.
Menurut Hairi, penglibatan DOCM menjadi antara tarikan utama program tersebut yang juga merupakan antara komuniti yang terlibat di bawah Madani Greatlink.
Alhamdulillah, sambutan memang memberangsangkan. Ada juga ahli yang minta supaya siri jelajah ini diteruskan ke lokasi lain.
Tetapi kami tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana kekangan jadual yang padat.
Untuk info, filem bergenre survival thriller ini sudah mula ditayangkan kepada penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 6 Ogos lalu.
Selain Ainee, Tiket Sehala juga dibintangi oleh Noki, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Hasnul Rahmat, Zaki Yamani dan Saha Champ.
The post Ainee Mustafa Gembira Lakonan Diterima Penonton, Teruja Bertemu Peminat Di ‘Meet & Greet’ Filem Tiket Sehala Bersama Konvoi Ducati first appeared on OHBULAN!.





