Pertubuhan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) berkata sebahagian elaun untuk warga Palestin di Malaysia diserahkan pada Jumaat lalu, manakala baki pembayaran dibuat hari ini selepas sesi taklimat bersama agensi kerajaan.
Mahar berkata, sebahagian elaun itu disalurkan sebaik sahaja dana diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), manakala baki diserahkan selepas taklimat khas di Asrama Starpac, penempatan warga Palestin di Kuala Lumpur.
NGO bantuan kemanusiaan itu tidak mendedahkan butiran terperinci bayaran, termasuk jumlahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas 24 orang warga Palestin dilapor berdemonstrasi di hadapan pejabat Mahar di Kuala Lumpur, dipercayai bagi membantah kelewatan elaun makan.
Kumpulan itu turut dilapor mendakwa tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai kebajikan serta peranancangan penempatan mereka.
Mahar menggesa warga Palestin itu menggunakan saluran rasmi bagi mengemukakan sebarang kebimbangan, sambil menegaskan pertubuhan itu hanya bertindak sebagai penyelaras kebajikan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), MAIWP dan Kementerian Pertahanan.

Mahar turut berkata segala keputusan berkaitan penempatan, rawatan, penghantaran pulang dan bantuan harian dibuat secara bersama oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Menurut Mahar, sejak ketibaan warga Palestin ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan, pertubuhan itu diamanahkan untuk membantu menjaga kebajikan mereka.
Katanya, rawatan yang pada awalnya dijalankan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan kini diteruskan di beberapa hospital bawah Kementerian Kesihatan bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Mahar berkata semua keputusan berkaitan penempatan, rawatan, penghantaran pulang dan keperluan harian warga Palestin dibuat secara bersama oleh agensi-agensi berkaitan dengan mengambil kira tempoh sementara keberadaan mereka di Malaysia.
Pada masa sama, Mahar menegaskan pengurusan dana yang diamanahkan kepadanya dilaksanakan secara telus.
"Amanah ini sentiasa ditunaikan dengan penuh telus, setiap perbelanjaan direkod, dilaporkan dan diaudit bersama MAIWP pada setiap pusingan dana sejak Februari 2025 sehingga kini," katanya.

Mahar ditubuhkan pada 2016 untuk mempromosikan semangat kemanusiaan merentasi agama, etnik, sempadan geografi atau politik.
Mahar juga membantu pihak yang berdepan krisis kemanusiaan serta terlibat dalam kerja-kerja bantuan dalam dan luar negara.
Menurut laman webnya, sejak Januari 2024, mereka menyerahkan 100,000 bakul makanan ke Gaza dan Palestin dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dan Dana Makanan Kebangsaan Mesir.





