Pelakon Jazmy Juma tampil memberikan penjelasan terhadap komen warganet yang kurang senang melihat dia sering menyarung uniform juruterbang di dalam drama Yes! Captain Zul Aaryan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jazmy Juma Akui Pernah Lewat Ke Set, Tepis Dakwaan Sukar Beri Kerjasama – ‘Perkara Itu Saya Tak Boleh Kawal’
Artikel Berkaitan: ‘Tak Profesional, Perhatian Apa Yang Kau Nak?’ – Jazmy Juma Tak Pilih Media Sosial Sebagai Tempat Teguran
Penjelasan Jazmy

Ketika ditemui , Jazmy atau nama lengkapnya Jazmy Khan Juma Khan, 28, memberitahu bahawa karakter yang dibawa di dalam drama tersebut mempunyai tiga jawatan berbeza iaitu juruterbang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tenaga pengajar.
Jadual Kapten Zul Aaryan amat padat. Contohnya, jika hari Isnin dia perlu terbang, hari Rabu dalam minggu yang sama dia akan kembali ke ‘hangar’ untuk mengajar.
Disebabkan dia perlu berada di pejabat, menjadi tenaga pengajar dan juga CEO pada masa yang sama, maka pakaian yang kelihatan seperti sama itu digunakan, bukannya baju yang sama dipakai berulang kali.
Jika watak ini sekadar juruterbang biasa dan bukan CEO atau tenaga pengajar, pejabatnya adalah di lapangan terbang dan dia hanya perlu memakai seragam ketika mahu melakukan penerbangan sahaja.
Namun, disebabkan dia juga seorang CEO dan tenaga pengajar, dia perlu memakai pakaian seragam tenaga pengajar.
Menurut Jazmy, setiap pakaian yang digayakan di dalam drama tersebut telah dirancang lebih awal oleh pasukannya dan juga pihak produksi.
Kami boleh sahaja tukar kepada pakaian kasual atau biasa, tetapi pasukan saya sudah merancang begitu sebelum penggambaran bermula.
Sebagai pelakon, saya mengikut sahaja perancangan itu dan kami pun ada berbincang mengenai hal ini sebelum masuk ke set penggambaran.
Jazmy berkata demikian ketika ditemui di sesi Meet & Greet Eksklusif Cadbury Dairy Milk Biscoff x Yes! Captain Zul Aaryan di The Starhill, Bukit Bintang pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Jazmy berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk bertemu tenaga pengajar penerbangan sebenar sebagai rujukan demi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai pemakaian dan suasana kerja sebenar dalam bidang tersebut.
Sewaktu proses persiapan, saya dan pasukan ada bertemu dengan tenaga pengajar penerbangan sebenar untuk melihat sendiri cara pemakaian mereka. Kami tanya sama ada perlu sentiasa memakai tali leher atau tidak.
Mereka cakap, di ‘hangar’ tidak perlu kerana keadaan panas dan perlukan pengudaraan yang baik, tetapi ada juga kapten yang kekal memakai tali leher ketika mengajar.
Bagi saya, pihak produksi juga sudah melakukan kajian yang lengkap sebelum penggambaran ini bermula.
Pada awalnya saya sendiri tidak tahu bagaimana gaya pemakaian seorang juruterbang yang dalam masa sama adalah CEO dan pemilik kolej penerbangan. Selepas membuat kajian, barulah saya faham.
Bagaimanapun, Jazmy tetap menerima semua komen yang diberikan dengan hati yang terbuka dan menganggap setiap teguran sebagai ruang untuk dirinya melakukan penambahbaikan.
Saya dan pasukan sedia maklum mengenainya. Saya terima komen-komen itu dan menjadikannya sebagai pengajaran dalam hidup.
Sama ada maklum balas positif atau negatif, semuanya mengajar saya untuk terus melangkah.
Terdahulu, di laman Threads, rata-rata warganet mempertikaikan keperluan Jazmy memakai pakaian seragam juruterbang setiap masa, selain mendakwa pemakaian seperti itu kurang realistik.
The post [VIDEO] Jazmy Juma Jawab Kritikan Sering Sarung Uniform ‘Pilot’ – ‘Kami Bertemu Tenaga Pengajar Penerbangan Untuk Tahu Pemakaian Mereka’ first appeared on OHBULAN!.





