32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Lembaga pengarah keliru peranan Najib dalam 1MDB – bekas pengerusi

    Shopee Sale

    BICARA 1MDB | Bekas pengerusi 1MDB memberi keterangan bahawa terdapat kekeliruan dalam kalangan ahli lembaga pengarah mengenai perananan Najib Razak dalam syarikat pelaburan negara itu.

    Che Lodin Wok Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya petang ini bahawa tertuduh mempunyai pelbagai perananan ketika itu sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

    Dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion, saksi pembelaan itu menjelaskan kepada peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengenai mengapa minit mesyuarat lembaga pengarah menunjukkan para pengarah mendapatkan nasihat tertuduh selaku pengerusi lembaga penasihat (BOA) dan bukan daripada keseluruhan BOA.

    1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), yang mana satu-satunya pemegang sahamnya ialah menteri kewangan.

    Semasa pemeriksaan utama, Shafee bertanya mengapa minit mesyuarat lembaga 1MDB menunjukkan pengarah mendapatkan nasihat daripada pengerusi BOA berhubung pelaburan luar negara syarikat itu serta implikasi terhadap Malaysia.

    Shafee: Mengapa bukan daripada keseluruhan BOA (yang mempunyai beberapa ahli) dan hanya kepada pengerusi BOA (Najib ketika itu)?

    Lodin: Ini mungkin disebabkan kekeliruan dalam kalangan kami mengenai perananan Najib sebagai menteri kewangan yang mewakili MOF Inc (selaku satu-satunya pemegang saham), pengerusi BOA, dan perdana menteri.

    Namun, bekas pengerusi 1MDB itu menegaskan memorandum dan artikel persatuan (M&A) syarikat itu tidak memberikan kuasa mutlak kepada Najib sehingga ke tahap ‘hampir seperti seorang diktator’.

    Lodin merujuk kepada Artikel 117 dalam M&A 1MDB, yang didakwa pihak pendakwaan memberi kuasa kepada Najib untuk meluluskan pelantikan pengarah, pasukan pengurusan kanan serta keputusan berkaitan komitmen kewangan.

    Shafee: Adakah Artikel 117 memberikan kuasa mutlak kepada perdana menteri sehingga hampir seperti seorang diktator dalam syarikat ini?

    Lodin: Tidak.

    MENARIK:  Sim terajui DAP Pulau Pinang, Ramkarpal dapat undi tertinggi

    Shafee: Mengapa tidak?

    Lodin: Terdapat banyak aspek operasi 1MDB yang tidak memerlukan kelulusan di bawah Artikel 117, jadi jika perdana menteri dianggap sebagai diktator dengan melaksanakan Artikel 117, maka sudah tentu dalam banyak cara ia akan mengganggu operasi 1MDB. Ini kerana setiap perkara kecil yang perlu dilakukan mesti mendapatkan kelulusan (Najib) di bawah Artikel 117 jika ia ditafsirkan sedemikian.

    Shafee: Adakah perkara itu pernah berlaku?

    Lodin: Tidak.

    Pada 30 Oktober tahun lalu, mahkamah jenayah mengarahkan Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dari 1MDB.

    Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan kekuatan keterangan kira-kira 50 orang saksi.

    Antara awal Disember tahun lalu hingga akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi dalam usaha menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Tertuduh mendakwa dia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam sebarang kesalahan di 1MDB dan bahawa semua penyelewengan di syarikat itu didalangi sepenuhnya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) serta anggota pengurusan syarikat berkenaan.

    Bekas ahli parlimen Pekan itu juga bergantung kepada pembelaan dia telah dijanjikan sumbangan derma oleh Almarhum Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, dalam satu pertemuan mereka di Riyadh pada tahun 2010.

    Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 atas kes rasuah berasingan membabitkan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

    Syarikat itu diwujudkan dengan tujuan untuk memastikan pembangunan jangka panjang yang mampan sambil melindungi kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.

    MOF Inc juga memiliki SRC sepenuhnya.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah