Gesaan pemimpin DAP, RSN Rayer supaya rundingan diadakan berhubung perobohan sebuah kuil Hindu di Perlis tidak seharusnya ditafsirkan sebagai melanggar kedaulatan undang-undang, kata lebih 40 pemimpin akar umbi parti itu.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan yang diketuai Adun Bagan Dalam, Kumaran Krishnan, melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan 14 pemimpin akar umbi DAP sebelum ini yang mengkritik pendirian Rayer berhubung perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.
Para pemimpin cawangan parti itu mempersoalkan mengapa kritikan terhadap Rayer disuarakan secara terbuka dan bukannya melalui saluran dalaman parti.
“Kita boleh mempunyai perbezaan pendapat. Itu perkara biasa dalam sebuah parti demokratik.
“Tetapi adakah menyerang rakan dan pemimpin sendiri secara terbuka merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan perbezaan tersebut?” kata mereka.
Mereka mengingatkan bahawa serangan secara terbuka terhadap anggota parti boleh digunakan sebagai modal politik kepada pihak lawan dan memberikan gambaran bahawa DAP berpecah-belah.
Semalam, 14 anggota DAP itu berkata dialog perlu digalakkan bagi mencari penyelesaian terbaik, namun aktiviti yang melanggar undang-undang tidak boleh diterima.
Mereka turut menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang serta mengingatkan pemimpin parti perlu mengesahkan fakta dan mengambil pendirian tidak memihak apabila kepentingan masyarakat bertembung dengan keperluan undang-undang.

Antara 14 anggota itu ialah Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor, Nur Rahim Nasir, pemimpin DAP cawangan Setia Impina, Shakir Ameer Mohideen, Farhan Haziq (Bandar Baru Bangi), Abdul Majid Abd Aziz (Pekan Paloh), Nor Miswary Ramli (Pusat Bandar Shah Alam), Izzul Afiq (Taman Kemuncak), Aslam Ahmad Ramli (Kampung Tunku SS1) dan Aldrin Ng (Kampung Baru Pasir Pinji), selain bekas Adun Dusun Tua, Edry Faizal Yusof.
Walaupun kenyataan mereka tidak menamakan Rayer, beberapa orang daripada mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa ia berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong itu yang mengecam kerajaan negeri kerana merobohkan kuil berkenaan selepas didapati ia dibina di atas tanah kerajaan tanpa permit.
‘Undang-undang bukan alasan buli golongan lemah’
Mengulas lanjut, kumpulan yang diketuai Kumaran itu berkata Rayer tidak pernah meminta undang-undang diketepikan, sebaliknya menggesa rundingan dan penyelesaian dicari sebelum tindakan diambil terhadap kuil berkenaan.
"Dia bersuara bagi pihak sebuah masyarakat yang memerlukan seseorang untuk bersuara bagi pihak mereka,” kata mereka.
Mereka berkata komitmen DAP terhadap kedaulatan undang-undang tidak seharusnya menutup ruang untuk rundingan dan belas kasihan.
“Kedaulatan undang-undang bukan lesen untuk mereka yang berkuasa membuli golongan lemah atau minoriti. Undang-undang mesti dilaksanakan secara adil, munasabah dan dengan mengambil kira proses sewajarnya.
“Dalam isu sensitif seperti rumah ibadat, rundingan dan usaha mencari penyelesaian sepatutnya diutamakan sebelum tindakan yang tidak boleh dipulihkan diambil,” kata mereka.
Pada 20 Ogos, Rayer menyifatkan perobohan itu sebagai amat dikesali dan mengingatkan rakyat Malaysia tidak membenarkan PN mengambil alih kuasa di peringkat Persekutuan, dengan menyifatkan gabungan itu sebagai “tidak sensitif dan tidak bertimbang rasa terhadap masyarakat majmuk, kaum lain dan agama”.

Kerajaan Perlis pimpinan PN kemudiannya mempertahankan tindakan tersebut, dengan Exco Izizam Ibrahim berkata kerajaan negeri telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan jawatankuasa pengurusan kuil sebelum perobohan dilakukan serta menasihatinya supaya mencari tapak alternatif yang sesuai.
Kenyataan Rayer turut mendapat kritikan daripada beberapa tokoh politik dalam PH dan sekutunya di peringkat Persekutuan iaitu Umno.





