Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan akan membentangkan penerangan berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terkait Lembaga Tabung Haji (TH) dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat esok.
Menerusi video berdurasi 35 saat yang diedarkan kepada media, Zulkifli berkata, dia bersama dengan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, akan menggulung perbahasan oleh ahli-ahli parlimen.
“Mesyuarat jemaah menteri juga memaklumkan untuk mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang terbabit di dalam kes berkenaan,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat esok akan membahaskan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sidang khas yang dijadualkan bermula pada 10 pagi itu membuka ruang kepada ahli parlimen untuk meneliti laporan RCI setebal 211 halaman yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 35 hingga 40 ahli parlimen telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.





