Iran menyiarkan rakaman video yang jarang disiarkan memaparkan Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei selepas laporan mendakwa beliau berada dalam keadaan kritikal, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Video yang disiarkan agensi berita separa rasmi Mehr itu menunjukkan Mojtaba dikelilingi beberapa individu dan dilihat sedang bercakap dengan mereka.
Mehr tidak menyatakan bila dan di mana rakaman itu dibuat, selain tidak mengenal pasti individu yang mengiringinya.

Agensi itu melaporkan pada Ahad bahawa Mojtaba mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, yang memasuki tahun ketiga pentadbirannya.
Menurut laporan itu, pertemuan berkenaan membincangkan cabaran semasa yang dihadapi Iran, termasuk keperluan sara hidup rakyat dan konflik ketenteraan dengan AS, selain kerjasama ekonomi dengan rakan kongsi asing.
Mojtaba dipilih sebagai pemimpin agung Iran pada awal Mac selepas bapanya, Ali Khamenei, terkorban dalam serangan udara AS-Israel pada 28 Feb lepas. Beliau tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak dipilih memegang jawatan itu.
Pezeshkian bertemu Khamenei
Sementara itu, AFP melaporkan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian baru-baru ini, mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei yang belum pernah muncul di khalayak umum sejak dilantik ke jawatan itu.
Melalui kenyataan semalam, Pejabat Khamenei berkata, Pezeshkian bertemu dan berbincang dengan Khamenei pada permulaan tahun ketiga beliau dilantik sebagai presiden, namun tidak mendedahkan tarikh pertemuan itu.

"Kedua-dua pemimpin 'membincangkan isu dan masalah negara secara terperinci', termasuk 'situasi ketenteraan semasa serta prospek masa depan'," katanya.
Semalam, agensi berita Tasnim memetik Jeneral Kor Pengawal Revolusi Islam berkata, gambar memaparkan Khamenei bersama orang ramai dan ketika menghadiri pertemuan akan 'diterbitkan pada masa akan datang', namun tidak memperincikan tempoh berkenaan.
Rabu lalu, Pezeshkian berkata, komunikasi dengan Khamenei 'amat sukar ketika ini', manakala spekulasi mengenai kesihatan pemimpin tertinggi itu semakin tersebar selepas dia dilaporkan cedera akibat serangan yang turut mengorbankan bapanya.





