Dalam dunia lakonan, tidak semua pelakon menemui watak yang benar-benar mampu menyerlahkan kemampuan mereka pada awal perjalanan kerjaya. Ada yang terus meledak selepas satu naskhah, tetapi ada juga yang terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum bakat sebenar mereka mula diperhatikan.
Bagi Haidar Hasanudin, lebih empat tahun dalam industri mengajarnya satu perkara penting: setiap pelakon mempunyai laluan dan masa yang berbeza.
ARTIKEL BERKAITAN: Haidar Hasanudin Buat Beard Transplant – ‘Tanam Untuk Stabilkan Sebab Jambang Tumbuh Sebelah Kanan Saja’
ARTIKEL BERKAITAN: Haidar Hasanudin Pernah Ditawar RM50k Oleh Mak Datin
Tampil sisi lakonan berbeza
Mula berlakon pada tahun 2022, Haidar mengakui projek terbarunya, Cinta Dalam Sekam merupakan antara karya yang paling dinantikan sepanjang bergelar pelakon.
Menurut Haidar, buat pertama kali, dia merasakan dirinya diberi ruang untuk mempamerkan sisi lakonan yang sebelum ini mungkin tidak pernah dilihat penonton.

“Setiap pelakon sentiasa mengharapkan satu karya yang boleh menonjolkan bakat dan kemampuan sebenar mereka. Kadang-kadang, ada perkara yang kita tak dapat tunjukkan dalam projek-projek sebelum ini kerana ia tidak bersesuaian dengan watak yang diberikan.”
“Saya bersyukur dapat peluang menerusi Cinta Dalam Sekam. Bekerjasama dengan Siti Khadijah Halim, Amir Ahnaf dan barisan pelakon lain membuatkan saya banyak belajar. Pengarah dan tenaga produksi juga sangat membantu. Peluang yang diberikan oleh Viu dan Global Station amat saya hargai.”
Lebih istimewa, Haidar turut menerima pujian daripada Amir Ahnaf, sesuatu yang disifatkannya sebagai penghargaan besar daripada seorang pelakon yang sudah membuktikan kemampuannya dalam industri.
Menurut Haidar, pujian itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga suntikan semangat untuk terus memperbaiki diri sebagai anak seni. Namun, di sebalik pujian dan perhatian yang mula diterima, Haidar tidak pernah melihat perjalanan kerjayanya sebagai satu perlumbaan.

“Saya percaya pada rezeki Allah dan saya berada di lorong saya sendiri. Saya tak bersaing dengan sesiapa sebab saya sentiasa mahu menjadi lebih baik daripada diri saya yang sebelum ini.”
Bagi aktor drama bersiri Kampung People 3 itu, kesabaran merupakan antara syarat terpenting untuk bertahan dalam dunia lakonan. Katanya, ramai pelakon senior yang dihormati hari ini juga mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapai kedudukan mereka sekarang.
“Kadang-kadang kita tengok kawan-kawan lain dah berjaya, tetapi untuk saya, saya pilih untuk ikut rentak sendiri. Kita hanya perlu terus berusaha, menikmati proses dan memberikan yang terbaik dalam setiap karya.”
Enggan pilih kontroversi untuk dikenali
Malah, Haidar mengakui dia tidak pernah berasa perlu untuk mencipta kontroversi semata-mata mahu mempercepatkan populariti. Baginya, jalan singkat seperti itu bukan sesuatu yang ingin dipilih.
“Saya rasa kontroversi itu lebih kepada jalan pintas. Saya memilih untuk tidak menggunakan jalan itu kerana apa yang saya lakukan bukan hanya melibatkan diri saya, tetapi juga keluarga saya.”
Menariknya, Haidar juga melihat lakonan sebagai ruang untuk keluar daripada identitinya sendiri. Sebab itu dia tidak pernah takut untuk mengubah penampilan demi sesuatu watak, termasuk jika suatu hari nanti dia perlu membotakkan kepala atau mengubah keseluruhan imejnya.

“Saya suka watak yang memerlukan penampilan yang berbeza daripada diri sebenar saya. Saya tak nak penonton nampak Haidar Hasanudin yang sama dalam setiap karya.”
Mungkin itulah yang membezakan Haidar daripada ramai pelakon lain. Ketika ada yang berlumba-lumba mahu cepat dikenali, dia memilih untuk menikmati perjalanan, percaya bahawa setiap pelakon akhirnya akan menemui watak yang ditakdirkan untuk mereka.
Dan bagi Haidar Hasanudin, apa yang paling penting bukanlah siapa yang tiba dahulu, tetapi bagaimana seseorang itu berkembang sepanjang perjalanan.
The post “Saya Tak Berlumba Dengan Sesiapa” – Bakat Semakin Dikenali, Haidar Hasanudin Percaya Setiap Pelakon Ada Masa Sendiri first appeared on OHBULAN!.





