PRK SG BAKAP | Calon PH Joohari Ariffin bertanding satu lawan satu menentang calon PN Abidin Ismail.
Malaysiakini melaporkan secara langsung liputan hari pengundian.
Abidin mengundi
8.15 pagi: Sungai Duri, Nibong Tebal - Calon PN Abidin Ismail tiba di SK Sungai Duri untuk membuang undi.
Abidin, 56, yang memakai baju putih dilihat melambai ke arah orang ramai sebaik tiba sebelum mengundi pada jam 8.20 pagi.
Sungai Bakap memilih
8.00 pagi: Nibong Tebal - Sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dibuka serentak pada 8 pagi ini.
Pusat pengundian tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.
Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di Nibong Tebal.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.





