Kira-kira 150 penduduk dari tujuh kampung dan taman di Sungai Siput, Perak, berhimpun hari ini bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri berhubung isu hak milik tanah yang didakwa berlarutan lebih 15 tahun.
Memorandum kepada kerajaan Perak itu diserahkan melalui Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sungai Siput oleh penduduk Kampung Bengali, Kampung Sungai Buloh, Kampung Veerasamy, Kampung Jalan Lintang, Kampung Perak Hydro, Kampung Pokok Api dan Taman Dovenby Fasa 2.
Himpunan itu dipimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM Karthiges Rajamanickram berkata penduduk pada awalnya berdepan halangan apabila pintu utama pejabat berkenaan ditutup, walaupun kehadiran mereka sudah dimaklumkan lebih 10 hari lebih awal.

Menurutnya, pihak PTD pada mulanya mahu menyerahkan surat maklum balas kepada penduduk di luar pintu masuk namun wakil penduduk berkeras mahu dibenarkan masuk bagi mendapatkan penjelasan secara bersemuka.
"Kami tidak akan terima surat di luar. Kami mahu wakil penduduk masuk dan bermesyuarat untuk mendapatkan penjelasan," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Selepas rundingan, seramai 16 wakil penduduk dan PSM dibenarkan bertemu Ketua Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput, Khaizurul Ezwan Baharuddin.
Karthiges berkata PTD kemudian memaklumkan beberapa keputusan secara bertulis, termasuk mengesyorkan pemberian hak milik tanah kepada penduduk Kampung Bengali, Kampung Sungai Buloh dan Kampung Veerasamy.

Bagi Kampung Jalan Lintang, katanya, cadangan projek sudah diluluskan dan akan dikendalikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
Menurutnya, langkah itu akan membolehkan peneroka memperoleh hak milik bagi tapak rumah yang didiami mereka sekarang.
Penduduk Kampung Perak Hydro dan Kampung Pokok Api pula diminta mengemukakan semula permohonan tanah di bawah Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT), yang akan disyorkan PTD.
“Bagi Taman Dovenby Fasa 2 pula, PTD memaklumkan cadangan pengambilan semula tanah akan disyorkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), manakala penduduk terus menuntut penyelesaian berasaskan konsep rumah ganti rumah,” katanya.

Karthiges menyifatkan perkembangan itu sebagai "kemenangan pertama" selepas lebih 15 tahun penduduk memperjuangkan hak tanah mereka.
"Keputusan-keputusan ini telah diberikan kepada kami secara bertulis dan amat dialu-alukan oleh Jawatankuasa Hak Tanah Sungai Siput. Ini adalah kemenangan pertama selepas 15 tahun kami berjuang.
"PSM akan terus bersama memimpin perjuangan ini sehingga semua keputusan yang diumumkan dapat direalisasikan," katanya.
Dalam memorandum berkenaan, penduduk memaklumkan kebanyakan keluarga di tujuh penempatan itu sudah menetap di kawasan terbabit antara 30 hingga 70 tahun, tetapi masih belum memiliki geran tanah walaupun permohonan dikemukakan sejak 2010.

Mereka turut mendakwa sebahagian besar permohonan tidak menerima maklum balas daripada pihak berkuasa.
Turut hadir dalam himpunan berkenaan ialah Pengerusi Nasional PSM yang juga bekas ahli Parlimen Sungai Siput, Jeyakumar Devaraj.
Isu hak milik tanah di tujuh penempatan itu berlarutan sekurang-kurangnya sejak 2010 apabila penduduk mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran bagi tanah yang didiami mereka.
Kebanyakan kawasan terbabit merupakan tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau penempatan lama yang sudah didiami antara 30 hingga 70 tahun.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa mereka masih belum memperoleh geran hak milik walaupun permohonan dikemukakan kepada kerajaan negeri.
Tanpa geran, mereka berkata status kediaman terus tidak menentu dan penduduk berdepan risiko pengusiran.
Mereka turut menuntut supaya tanah yang didiami diwartakan sebagai tapak kediaman yang sah.
Kebanyakan penduduk terlibat terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.






