Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah Shafiee menyifatkan Ketua Pemuda PKR Kamil Abdul Munim sebagai hipokrit kerana menyasarkan gerakan pertubuhan masyarakat sivil Mandiri berhubung dakwaan dana asing.
Ainie - yang juga bekas ketua Wanita Muda PKR dan rakan seangkatan Kamil dalam sayap pemuda itu - mendakwa PKR sendiri pernah mendapat manfaat daripada latihan asing.
“Kamil tidak boleh berpura-pura lupa sejarah. Parti beliau sendiri bermula sebagai gerakan reformasi yang turut mendapat sokongan, latihan dan dukungan daripada pelbagai organisasi antarabangsa yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia.
Malah, ramai aktivis muda ketika itu —termasuk Kamil sendiri — pernah menyertai latihan, program pembangunan kepimpinan dan wacana yang didanai oleh dana asing.
“Jadi persoalannya; adakah ketika itu Kamil tidak tahu? Naif? Atau hari ini memilih untuk lupa diri apabila sudah berada di tampuk kuasa?” soalnya.
Ainie juga mempersoalkan sama ada dakwaan pembiayaan asing itu sekadar bertujuan untuk melemahkan suara anak muda yang kritikal terhadap kerajaan.
Kamil pada Ahad menggesa pihak berkuasa menyiasat Mandiri berhubung dakwaan menerima pembiayaan asing untuk menggugat politik Malaysia.
Mandiri menafikan sebarang salah laku dan menghantar surat tuntutan peguam kepada Kamil.
Anggota Dewan Undangan Negeri Semambu dari PKR Chan Chun Kang - yang membela Mandiri - berkata semalam bahawa PKR sendiri sebelum ini menghadapi tuduhan berhubung dakwaan pembiayaan daripada Open Society Institute dan National Democratic Institute.
Sementara itu, Bernama melaporkan malam tadi bahawa Kamil menafikan Pemuda PKR mahu pihak berkuasa menyiasat NGO yang menerima pembiayaan asing secara sewenang-wenangnya.
Sebaliknya, dia berkata isu yang dihadapi adalah potensi ancaman keselamatan yang dibawa oleh Mandiri.
Dia bagaimanapun berkata, PKR yang bermula sebagai platform politik yang disokong oleh gerakan massa dan NGO kekal teguh dengan prinsip agenda reformasi.
Katanya, mereka juga tidak menafikan sumbangan NGO dalam meningkatkan kesedaran dan memupuk pemahaman demokratik di negara ini, di samping menyokong agenda reformasi.





