Lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd di negara ini dilanjutkan selama 10 tahun, berkuat kuasa 3 Mac.
Syarikat induk Lynas yang berpangkalan di Australia memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Jabatan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia yang memaklumkan keputusan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Australia, Amanda Lacaze pada satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Putrajaya atas lanjutan tempoh yang panjang itu dan berkata ia memberi kepastian pelaburan lebih besar kepada syarikat, rakan rantaian bekalan serta pelanggan.
PH sebelum ini mempunyai hubungan yang berliku dengan Lynas apabila pernah terlibat gerakan memperjuangkan gesaan penutupan operasi syarikat itu susulan kebimbangan terhadap risiko alam sekitar dan kesihatan.

Pada 2023, berlaku pertikaman lidah antara syarikat dan kerajaan apabila Putrajaya menegaskan Lynas perlu memindahkan kemudahan ‘cracking and leaching’ (pecah dan larut) di Gebeng, Kuantan ke luar Malaysia sebelum Julai 2023.
Kemudahan Lynas itu menghasilkan sisa radioaktif 'water leach purification' (pemurnian melalui larutan air - WLP).
Bagaimanapun, syarat tersebut akhirnya ditarik balik selepas Lynas mencadangkan kepada kerajaan untuk mengekstrak torium daripada bahan mentah lanthanide serta sisa WLP.
Syarikat itu masih dikehendaki membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi menyimpan sisa radioaktif dan menyumbang kepada dana penyelidikan dan pembangunan, selaras dengan syarat asal kerajaan ketika melanjutkan lesen Lynas sehingga 2026.
‘Bebas torium’
Sehingga Oktober tahun lalu, pembinaan PDF itu telah siap 72 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.
Bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang mendedahkan kerajaan pada akhirnya akan mewajibkan Lynas menggunakan teknologi pengekstrakan torium bagi mengimport bijih nadir bumi “bebas torium”.
“Ke depan, kita akan mewajibkan (Lynas) menyelesaikan proses pengekstrakan torium di Australia sebelum dihantar ke sini,” katanya.

Chang turut memaklumkan kementeriannya mengendalikan Sistem Pemantauan Radiasi Alam Sekitar di dalam loji nadir bumi Lynas serta di kemudahan pelupusan kekalnya.
Semua data berkaitan akan dimuat naik ke platform awam yang bakal dilancarkan, yang menyediakan data alam sekitar secara masa nyata.





