Kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan dana hingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penggunaan dana itu bagaimanapun bersyarat iaitu pihak majikan dan industri perlu bekerjasama erat dengan kerajaan bagi menjayakan agenda TVET 2.0.
“Saya tegaskan semula untuk membenarkan hingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK digunakan untuk TVET 2.0.
“Syaratnya ada syarat. Majikan dan industri bekerjasama dengan kerajaan khususnya dalam Majlis TVET untuk menjayakannya supaya ada penyelarasan. Ini juga akan menambah tentang program latihan dan pendedahan,” kata beliau ketika merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2026 di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Di bawah kerangka Belanjawan 2026, peruntukan keseluruhan bagi PTPK ditetapkan sebanyak RM650 juta.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata TVET 2.0 merupakan satu penstrukturan semula kurikulum TVET yang akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan bidang teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Menjelas lanjut, Anwar berkata pelaksanaan TVET 2.0 adalah satu keputusan bijak kerana teknologi AI, kripto dan peralihan tenaga kini menjadi tumpuan dunia.
“Kita tahu perubahan teknologi baharu yang disebut tadi juga AI, kripto, peralihan tenaga. Ini semua menuntut suatu lapangan yang baharu, yang tidak terfikir dan terjangkau oleh generasi kami 20 hingga 30 tahun lepas.
“Ini semua teknologi baharu dan kalau kita terikat dengan kepompong pemikiran lama, kita tidak boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara ini,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kejayaan TVET 2.0 memerlukan sokongan serta dukungan padu daripada sektor swasta, selain penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelaksanaan program khas TVET yang dirangka sebelum ini.
Perdana Menteri berkata sinergi bersama pelbagai pihak termasuk sektor swasta domestik, syarikat multinasional (MNC) serta syarikat antarabangsa perlu diperkukuh dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam menyediakan latihan khas kepada pelajar TVET.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pembangunan kemahiran termasuk dalam bidang AI perlu diimbangi dengan penerapan nilai, akhlak serta aspek kemanusiaan demi melahirkan modal insan yang holistik.
Beliau berkata institusi pendidikan dan latihan tidak seharusnya menumpukan kepada penguasaan kemahiran teknikal semata-mata, sebaliknya perlu memastikan pelajar dibentuk sebagai individu yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Jadi ini saya nak tekankan kerana kadang-kadang dalam kesibukan dan keasyikan kita menumpukan isu pembangunan kemahiran keterampilan, kita (jangan) tinggalkan nilai asasi kemanusiaan,” kata beliau.
Hari TVET Negara disambut pada 2 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf perananan pendidikan kemahiran tersebut sebagai pemacu pembangunan modal insan, di samping menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda TVET MADANI yang menekankan elemen kemahiran, inovasi serta kebolehpasaran graduan.
Di bawah kerangka Malaysia MADANI, TVET kini diangkat sebagai agenda nasional dan bukan lagi sekadar pilihan kedua, dengan kerajaan komited memperkasakan bidang berkenaan melalui penawaran kursus berteknologi tinggi bagi memenuhi tuntutan pelaburan industri global.





