Pihak berkuasa Singapura menahan anggota kumpulan muzik British, Massive Attack, selepas bendera Palestin dikibarkan semasa persembahan mereka, menurut hantaran Instagram kumpulan itu.
Reuters melaporkan bahawa kumpulan itu meluahkan rasa "terkejut dan kecewa" selepas seluruh ahli kumpulan ditahan dan disoal siasat.
Hantaran itu turut menyatakan bahawa pasport beberapa anggota disita sementara, manakala bilik hotel mereka digeledah.
Polis Singapura belum memberi maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters berhubung dakwaan kumpulan berkenaan.
Massive Attack tidak mendedahkan secara khusus anggota mana yang ditahan, biliknya digeledah, atau pasportnya dirampas.
Saksi memberitahu Reuters bahawa anggota kumpulan, Robert Del Naja dan Grant Marshall, kedua-duanya warganegara British, mempamerkan bendera tersebut ketika penonton konsert bersorak "Bebaskan Palestin!".
Polis Singapura pada Jumaat lalu menyatakan tindakan kumpulan itu "berpotensi menjejaskan keharmonian kaum dan agama di Singapura".
Susulan itu, dua anggota kumpulan yang tidak dinamakan menerima amaran keras dan dilarang daripada memasuki semula negara berkenaan.
Dalam kenyataan mereka, kumpulan itu memberitahu: "Kami tidak menyangka bahawa sekadar memegang bendera sebuah negara berdaulat yang diiktiraf oleh 157 negara akan melanggar sebarang undang-undang.
"Pengalaman yang sukar dipercayai ini menjadi peringatan tentang kepentingan mempertahankan hak asasi manusia sejagat dan kebebasan bersuara di mana-mana sahaja hak tersebut terancam," tambah kumpulan itu lagi.
Mempamerkan simbol kebangsaan luar negara secara terbuka tanpa permit rasmi atau pengecualian adalah menyalahi undang-undang di Singapura, dan bendera Palestin membawa sensitiviti yang tinggi berikutan konflik yang sedang berlanjutan di Gaza.
The Guardian melaporkan Massive Attack menambah bahawa ia berasa bangga kerana "membuat ekspresi spontan ini bersama peminat kami di Singapura yang jelas merasakan tanggungjawab moral untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin dalam realiti pendudukan haram, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku, dan kami menghormati keberanian mereka berbuat demikian.
“Di seluruh dunia, sikap berdiam diri 'masyarakat antarabangsa' yang berterusan mendorong orang ramai mengambil risiko peribadi."
Ia menambah: "Di tanah air di UK, penunjuk perasaan secara aman ditangkap di bawah undang-undang keganasan kerana memegang sepanduk tulisan tangan membantah pembunuhan beramai-ramai, di sebalik rayuan daripada pelbagai spektrum politik."
Massive Attack turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana menyambut kehadiran mereka, dan pada masa sama, berharap kerajaan Singapura "akan memilih untuk meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights PBB serta membenarkan rakyat nya meluahkan hati nurani tanpa rasa takut terhadap pendakwaan negara."





