Kumpulan rap KOI menegaskan mereka akan terus mengekalkan identiti bertopeng dan tidak berhasrat mendedahkan wajah, sekali gus membiarkan diri mereka kekal sebagai misteri dalam industri muzik.
Artikel Berkaitan: AJL40: Lagu ‘Tiwikarma’ Diramal Jadi Juara, KOI Tidak Letak Harapan Tinggi – ‘Juri Profesional Akan Menentukan’
Selesa bertopeng

Menurut salah seorang anggotanya, Mya Na Na, mereka sudah terbiasa dengan imej berkenaan setiap kali menjalankan urusan berkaitan kerjaya, malah tidak menganggap pemakaian topeng sesuatu yang merimaskan.
Bagaimanapun, Mya mengakui ada kalanya mereka perlu mencari ruang untuk ‘melarikan diri’ seketika ke tandas bagi mengambil nafas dan menyelesakan diri sebelum kembali mengenakan topeng.
Kami sudah biasa dengan imej bertopeng, jadi tidak menjadi masalah untuk kami keluar bekerja dengan memakai topeng. Paling lama pakai pun dua tiga jam.
Kalau kami menghadiri sesebuah acara, kadang-kadang kami akan lari keluar sekejap minum air, pergi tandas ambil nafas kemudian pakai semula.
KOI berkata demikian ketika ditemui pada acara Meet & Greet AJL40 yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Ditanya sama ada pemakaian topeng menyukarkan mereka menikmati hidangan ketika menghadiri acara, anggota KOI mengakui perkara itu sedikit membataskan mereka kecuali Himo yang menggunakan topeng berbeza.
Kami jarang makan di event kecuali dia (Himo). Sebab topeng dia cermin mata, hanya tutup mata dan tidak bahagian mulut. Senang untuk dia makan.
Dalam pada itu, KOI turut mendedahkan setiap topeng yang dipakai oleh anggota kumpulan mempunyai maksud dan identiti tersendiri.
Biarpun sering tampil dengan wajah yang disembunyikan, mereka menganggap imej tersebut sebagai sebahagian daripada identiti KOI dan tidak melihatnya sebagai satu kekangan dalam perjalanan seni.
Sekadar info, KOI bakal mempertaruhkan lagu Tiwikarma di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang akan berlangsung secara langsung pada 15 Ogos ini di Unifi Arena, Bukit Jalil.
The post AJL40: KOI Dedah Sebab Kekal Bertopeng, Kadang ‘Lari’ Ambil Nafas Di Acara first appeared on OHBULAN!.





