PN meletakkan keyakinan bahawa gabungan itu akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Negeri Sembilan susulan kerjasama mereka dengan BN dalam PRN yang berakhir Sabtu lalu.
Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dia percaya perkara itu akan diselesaikan sebagaimana yang sudah diputuskan sebelum ini.
"Parti akan buat keputusan dan yakin PN akan menjadi sebahagian kerajaan Negeri Sembilan sebagaimana yang diputuskan sebelum ini.
"Namun jumlah exco akan diputuskan bersama dalam perbincangan yang diadakan dalam masa terdekat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Dia yang juga Presiden PAS berkata demikian ketika ditanya jika parti itu ada mengemukakan senarai Adun mereka – yang tujuh orang kesemuanya – sebagai calon bagi jawatan exco kerajaan Negeri Sembilan.
Dalam PRN Sabtu lalu, PN memenangi tujuh kerusi daripada 11 DUN yang ditandingi sekali gus memberikan penguasaan tambahan kepada BN yang menguasai 18 kerusi lain.
Daripada tujuh kerusi itu, empat adalah dari PAS manakala tiga yang lain diwakili Wawasan yang baru saja menjadi sebahagian daripada komponen PN.
Semalam Adun Juasseh, Ismail Lasim, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk dilantik sebagai menteri besar baru sekali gus menamatkan pentadbiran PH selama dua penggal.
Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.
Ismail merupakan Ketua Umno Kuala Pilah merangkap anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno. Dia tidak pernah kalah dalam pilihan raya sejak pertama kali bertanding di kerusi DUN Senaling pada 1999.
Namun, pelantikan menteri besar baru itu diiringi dengan petanda konflik di negeri tersebut belum boleh dianggap selesai sepenuhnya.
Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan, Rais Yatim, malam tadi tampil secara dalam talian dengan mempersoalkan urusan pelantikan Ismail.





