Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof akan menjalani pembezahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat atas nasihat pasukan pakar perubatan.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) Misiah Taib dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan berkenaan, keadaan Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilaporkan stabil, namun beliau dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya dan tidak menerima pelawat bagi memastikan proses rawatan serta pemulihan berjalan lancar.
"Sehubungan itu, pihak keluarga memohon agar orang ramai bersama-sama mendoakan agar urusan pembezahan dan rawatan beliau dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan serta dapat kembali bertugas seperti biasa," menurut kenyataan itu.
Pihak keluarga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas doa, sokongan serta keprihatinan.





