Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan kerajaan akan menjalankan siasatan yang rapi dan telus mengenai insiden tembakan membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada 24 Jan.
Beliau juga meminta semua pihak tidak sewenang-wenangnya menjadi hakim berkenaan insiden tersebut, di samping menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang tindak balas ekoran demonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta.
“Saya ikuti kenyataan Presiden (Indonesia) Prabowo Subianto yang tentunya prihatin, tetapi (beliau) minta supaya ada siasatan yang rapi.
"Indonesia adalah negara sahabat, jadi saya bagi jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak untuk melindungi sesiapa.
“Dan pagi tadi saya telah minta supaya laporan siasatan awal disampaikan ke Kedutaan Indonesia.
“Ini hanya berlaku kerana negara ini sahabat baik dan siasatan ini biar lengkap sepenuhnya, akan dibuat, diteliti oleh rakan-rakan kita di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Teh Rakyat Bersama YAB Perdana Menteri Sempena Tahun Baru Cina 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Kanthan Baru di Ipoh hari ini.





