DUN Kelantan semalam sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kesalahan Syariah Kelantan 2026 bagi menggantikan 16 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (I) 2019 dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
RUU itu secara langsung menangani keputusan mahkamah tertinggi negara pada 2024 yang mendapati 16 peruntukan berkenaan tidak sah kerana DUN melanggar bidang kuasa Persekutuan dengan menggubal undang-undang berkaitan kesalahan yang sudah diliputi.
Antara peruntukan yang dibatalkan termasuk perbuatan memusnahkan tempat ibadat, liwat, persetubuhan dengan mayat, hubungan seks dengan haiwan, gangguan seksual, memiliki dokumen palsu dan memberikan maklumat palsu, mabuk serta penyalahgunaan label halal.
Bagi menyelesaikan konflik perlembagaan itu, RUU terbaru itu memansuhkan EKJS (I) 2019 yang sebahagiannya diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, siasatan atau perbicaraan yang dimulakan sebelum undang-undang baru itu berkuat kuasa akan diteruskan di bawah undang-undang lama.
Sebaliknya, RUU itu menetapkan bidang kuasa negeri berdasarkan lima prinsip maqasid syariah (matlamat undang-undang Islam) dengan kesalahan yang tertumpu kepada perkara berkaitan agama semata-mata.
Sebagai contoh, kesalahan seperti liwat dan sumbang mahram – yang didapati Mahkamah Persekutuan berada bawah bidang kuasa Persekutuan – digugurkan.
Ia digantikan dengan seksyen 15 yang melarang orang Islam menggunakan - atau membenarkan - kemaluan mereka untuk tujuan yang “bertentangan dengan hukum syarak”.
Peruntukan lebih khusus
Seksyen 16 pula digubal terkait larangan menggunakan “mana-mana anggota atau bahagian tubuhnya” untuk tujuan seksual yang bertentangan dengan hukum syarak.
Kedua-dua kesalahan itu membawa hukuman sebatan antara tiga hingga enam kali, selain denda sehingga RM5,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah Persekutuan juga membatalkan peruntukan terdahulu yang melarang sesiapa mengambil minuman memabukkan.
RUU yang diluluskan semalam sebaliknya memperkenalkan seksyen 33 yang melarang orang Islam sengaja menyebabkan diri mereka hilang kewarasan sehingga menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan kewajiban agama.
Peruntukan itu juga mengehadkan skop undang-undang negeri berkaitan mabuk kepada orang Islam, berbanding liputan ke atas “mana-mana orang” sebelum ini.
Seksyen 11 EKJS yang menjadikan perbuatan memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat sebagai kesalahan, digantikan dengan seksyen 12 yang memberi tumpuan kepada perbuatan mengganggu tempat ibadat orang Islam.
Seksyen 34 pula – yang sebelum ini menjadikan pemilikan dokumen palsu dan pemberian maklumat palsu sebagai kesalahan – digantikan dengan peruntukan yang lebih khusus meliputi maklumat palsu berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam.

Peruntukan berkaitan riba, mengurangkan sukatan dan penyalahgunaan label halal dalam enakmen terdahulu turut dibatalkan. Undang-undang baru sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek agama dalam pendapatan, dengan seksyen 39 menjadikan perbuatan memperoleh ujrah (ganjaran atau pendapatan) dengan cara yang bertentangan dengan hukum syarak sebagai kesalahan.
Sementara itu, seksyen 10 menjadikan kesalahan bagi orang Islam yang sudah baligh dan waras untuk sengaja meninggalkan solat fardu tanpa alasan yang sah.
Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga RM2,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.
Pada masa sama RUU yang diluluskan semalam turut menyaksikan beberapa peruntukan yang tidak terjejas oleh keputusan Mahkamah Persekutuan turut dipinda.
Janji tambah penguat kuasa
Orang Islam yang mengandung luar nikah – serta pasangan Islam mereka yang menyebabkan kehamilan itu – akan dikenakan sebatan mandatori antara tiga hingga enam kali, selain denda dan/atau hukuman penjara.
Peruntukan itu berbeza dengan EKJS yang memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk memilih antara hukuman penjara, denda, sebatan atau gabungan mana-mana hukuman berkenaan.
Peruntukan terkait tindakan memberikan hak penjagaan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang berakhlak keji turut diperluaskan menerusi penambahan seksyen 14(1) RUU baru.
Perbuatan mengabaikan atau menyelewengkan akidah anak kini dianggap sebagai satu kesalahan dan boleh dihukum dengan sebatan antara tiga hingga enam kali, selain denda sehingga RM5,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah jga boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya sesuai terkait kanak-kanak terbabit.
RUU itu diluluskan selepas perbahasan melibatkan Adun Pasir Tumboh, Melor, Jelawat dan Chempaka di pihak kerajaan, selain dua daripada tiga Adun pembangkang (Galas dan Kota Lama).
Bagi menyokong penguatkuasaan, kerajaan negeri berjanji untuk menambah jumlah pegawai penyiasat dan penguat kuasa serta menaik taraf infrastruktur berkaitan, tertakluk kepada kemampuan kewangan negeri.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud, berkata pentadbiran negeri bersedia mempertahankan enakmen baru itu sekiranya berdepan cabaran undang-undang sekali lagi.
“Jika kita dicabar lagi, kita akan bangkit; kita akan berhujah lagi dan lagi,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Dia turut menegaskan bahawa menggubal dan mempertahankan peruntukan syariah negeri merupakan satu kewajiban dan pemimpin akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat.





