27.1 C
Kuala Lumpur
Friday, August 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tekong darat bawa 5 pendatang ditahan PGA di Tanah Merah

    Shopee Sale

    Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lima pendatang tanpa izin dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai berperananan sebagai tekong darat dalam satu operasi di Bukit Panau, Tanah Merah, hari ini.

    Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, berkata mereka ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan pada 6.10 pagi oleh pasukan khas Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.

    “Pasukan operasi mengesan sebuah kereta Honda City dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Tanah Merah namun pemandu memecut kenderaannya apabila menyedari kehadiran polis dan membelok ke Jalan Bukit Panau menghala ke Bukit Mas.

    “Pasukan operasi kemudian mengejar kereta terbabit dan berjaya menahannya di hadapan sebuah sekolah di Bukit Panau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Radzi berkata pemeriksaan dalam kenderaan menemukan seorang wanita warga Thailand dari Pattani dan empat lelaki warga Myanmar. Mereka berusia antara 18 hingga 31 tahun.

    Katanya lelaki tempatan itu pula berusia 28 tahun dan saringan air kencing yang dijalankan mendapati dia positif terhadap amphetamine.

    MENARIK:  Miliki RM1.38 juta saham Awanbiru, Pua tanya Azam 'mana dapat duit?'

    Menurut Ahmad Radzi polis merampas kereta terbabit yang dianggar bernilai RM105,000, tujuh telefon bimbit bernilai RM10,500 dan wang tunai RM1,094, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM116,594.

    “Lelaki tempatan itu didapati masih bujang dan tinggal di Kuala Lumpur. Dia mengaku kali kedua melakukan penghantaran pendatang asing dengan menerima bayaran RM600 bagi setiap penghantaran,” katanya.

    Dia menambah kegiatan itu dipercayai didalangi seorang ejen dikenali sebagai “Kevin” yang berpangkalan di ibu negara dengan bayaran dibuat secara tunai selepas urusan penghantaran selesai.

    Katanya urusan dengan ejen hanya dilakukan secara bersemuka – juga di ibu negara.

    Tambah Ahmad Radzi, kelima-lima pendatang asing terbabit dipercayai akan dihantar ke Johor untuk bekerja sebagai buruh manakala kereta yang digunakan adalah milik suspek yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu e-hailing.

    Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah