Setiap kali melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), setiap penyanyi pastinya mahu memberikan persembahan yang bukan sahaja kuat dari segi vokal, tetapi turut meninggalkan impak kepada penonton.
Bukan sekali atau dua, penyanyi Hazama sudah lapan kali merasai pengalaman beraksi di pentas berprestij AJL, sekali gus menjadikan setiap penyertaannya sebagai proses pembelajaran dalam mencari formula persembahan terbaik.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tak Nak Cari Orang Saya Cinta, Tapi Cari Orang Yang Perlu’ – Hazama
Artikel Berkaitan: ‘Saya Sudah Diberikan Bekalan Yang Cukup Untuk Bertahan Dalam Industri’ – Hazama
Mengimbau kembali perjalanan tersebut menerusi segmen #ThrowbackXTRA, Hazama mengakui sebelum ini dia cukup sinonim dengan persembahan yang sarat dengan prop dan elemen gimik bagi memberikan impak kepada penonton.
Saya terlalu fokus kepada gimik persembahan. Daripada awal menyertai AJL, memang ada prop yang banyak seperti ketika Simetri dan Amaran Mama.
Setiap kali saya masuk AJL, akan ada sahaja prop dan gimik besar-besaran.
Namun selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang lapan kali menyertai AJL, Hazama kini memilih pendekatan berbeza untuk persembahan terbaharunya menerusi lagu Semacam Pandora, karya ciptaannya sendiri.
Menurut Hazama, pengalaman lalu mengajarnya bahawa sesebuah persembahan tidak semestinya perlu dipenuhi gimik untuk meninggalkan kesan.
Apa yang saya belajar untuk persembahan AJL kali ini adalah untuk kekalkan konsep yang ‘minimalist’ supaya lebih fokus kepada lagu Semacam Pandora yang saya ciptakan sendiri.
Selain konsep persembahan, Hazama turut melihat perubahan pada dirinya dari aspek fizikal terutama membabitkan stamina ketika berada di atas pentas.
Perubahan lain adalah dari segi stamina saya.
Selepas lapan kali melalui pengalaman di pentas AJL, perjalanan Hazama memperlihatkan bagaimana pendekatannya terhadap persembahan turut berkembang.
Daripada terlalu memberi perhatian kepada prop dan gimik, kali ini Hazama mahu membiarkan lagu dan penyampaian menjadi fokus utama, sekali gus membuktikan pengalaman terdahulu banyak membentuk caranya melihat sebuah persembahan di pentas AJL.
Dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Imann, jangan lupa saksikan 10 lagu terbaik berentap di pentas AJL 40 pada Sabtu, 15 Ogos ini, menerusi TV3 dan strim secara langsung di Tonton.
The post #ThrowbackXTRA: Hazama Imbau Kembali Perjalanan Pengalaman Sertai AJL, Banyak Belajar Untuk Kekalkan Konsep ‘Minimalist’ first appeared on OHBULAN!.





