WAWANCARA | Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Rais Yatim berpandangan tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai sah.
Bagaimanapun, Rais yang juga merupakan pengkaji adat perpatih menyarankan agar krisis berkenaan diselesaikan secara lunak untuk tidak mencemarkan adat dan nama mana-mana pihak.
Jelas Rais, Undang Sungei Ujong, Jelebu, Rembau dan Johol mempunyai hak untuk menurunkan takhta Yang Dipertuan Besar menurut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Namun jelasnya, terdapat dua syarat perlu dipenuhi oleh keempat-empat undang berkenaan iaitu pertama hendaklah ada laporan lengkapnya dan kedua hendaklah disenaraikan kesalahannya.
"Setelah itu boleh dicop mohor atas kertas (dokumen) dan dilakukan apa yang disebut naratif adatnya dan di bawah sekali menteri besar perlu tandatangan sebagai saksi.
"Sekiranya menteri besar enggan meletakkan saksinya, beliau boleh dianggap sebagai cuai dalam melunaskan perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.
"Yang Dipertuan Besar tidak oleh wujud tanpa adanya Undang Yang Empat, sekiranya mereka tidak lagi memberi sokongan kepada Yang Dipertuan Besar atas mana-mana kesalahan, atau hal-hal yang mencuit, merosakan nama baik kesempurnaan tugas dan adat yang dilakukan. Maka Yang Dipertuan Besar boleh diturun takhta oleh Undang Yang Empat (dengan dua syarat tersebut)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur, semalam.

Menganggap tindakan undang baru-baru ini sebagai sah, bekas menteri itu bagaimanapun mengesyorkan supaya pihak-pihak yang mentadbir kerajaan Negeri Sembilan kembali ke pangkal permasalahan.
Dia juga menyeru semua pihak melihat semula langkah seterusnya selepas Undang Yang Empat mengumumkan penurunan takhta Tuanku Muhriz dan mengumumkan penggantinya iaitu Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.
"Ini adalah hak Undang Yang Empat, kita tak akan campur dalam soal itu. Menteri besar, mahu tak mahu oleh kerana sesi mesyuarat itu sedemikian dengan pengisian syarat-syarat Perkara 10 (i) dan (ii) hendaklah menjadi saksi kepada dokumen itu yang bertaraf wajib.
"Dokumen itu berpelembagaan dan tidak boleh diremehkan, dengan keputusan sedemikian diharap pihak-pihak yang mentadbir kerajaan Negeri Sembilan harus pulang ke pangkal dan melihat semula apa yang harus dibuat.
"Dalam adat ada juga 'sorong parang, tarik parang', tetapi barang yang sudah diputus boleh dicantum semula di atas kehendak ramai di kalangan Undang Yang Empat dan pihak diraja boleh bermuafakat semula.
"Ini tidak harus dibuat sebagai 'cantas sekali putus', sebab 'air yang lalu dicantas tak akan putus', jadi cari jalan kembali balik kepada DKU (Dewan Keadilan dan Undang), hadir semua undang dan dibicarakan di situ secara lunak yang dituntut adat supaya apa yang disebut menjadi lunak semula dan dapat dicantumkan.
"Ini syor saya jika nak cantik adat itu kembali, jika tidak tuntutan Perkara 10 berjalan dan tercemar nama-nama yang berkenaan," jelasnya.
‘Pemecatan Mubarak tak sah’
Terdahulu, Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan pertikaian besar diraja berlaku apabila para undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Walaupun barisan Undang Yang Empat mempunyai kuasa sedemikian, keadaan menjadi rumit apabila salah seorang daripada Undang Yang Empat iaitu Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak diumumkan sudah dipecat.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Aminuddin Harun yang mendakwa penyingkiran Yang Dipertuan Besar tidak diiktiraf kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS 1959.
Bagaimanapun, soal pemecatan Mubarak juga dipertikaikan kerana punca kuasa pemecatan dikatakan adalah tidak sah.

Mengulas perkara itu Rais berkata, tindakan menamatkan jawatan Mubarak dalam sesi mesyuarat DKU pada 17 April lalu adalah tidak sah.
Ini kerana menurutnya, pandangan yang diberi oleh anggota DKU yang hadir tidak diguna pakai, sebaliknya titah atau ucapan Yang Dipertuan Besar terus diterjemah oleh menteri besar sebagai keputusan muktamad.
"Saya kata keputusan itu tidak muktamad dan tidak sah lantaran ketiadaan syarat-syarat yang cukup. Pertama pandangan yang hadir seperti Tunku Besar Tampin, Datuk Bandar Sungei Ujong dan juga Undang Luak Johol tidak diterima.
"Mereka bertiga menyanggah dan menasihatkan jangan dipecat dulu (Mubarak) ini sebab lembaga yang berkuasa di Sungei Ujong belum membuat keputusan, yang membuat keputusan cuma satu segmen yang disebut sebagai Ibu Soko.
"Pihak berkuasa adat di semua luak ini ialah datuk-datuk lembaga yang menaikan seseorang undang itu mengikut salur galur, syarat dan hak Perut masing-masing (segmen adat). Jadi dengan itu menteri besar terus menterjemahkan ucapan dan kehendak pengerusi KDU iaitu Yang Dipertuan Besar sebagai muktamad dan diumumkan penamatan jawatan Datuk Undang Sungei Ujong, sebenarnya itu pemecatan, pemecatan tidak boleh dibuat oleh KDU.
"(KDU) itu hanya badan penasihat, bermakna apabila sesuatu laporan (keputusan) dari satu-satu luak terhadap seseorang Undang diterima oleh DKU, diputuskan oleh DKU, itu baru muktamad. Keputusan dari luar, bukan dari dalam DKU," jelasnya yang mengkaji adat perpatih sejak 1963.
Tambah Rais, DKU sama sekali tidak mempunyai kuasa memecat mana-mana Undang Yang Empat dan mereka hanya boleh dipecat atau boleh dinaikkan sebagai pemegang kuasa atau keandikaannya di bawah Perkara 14 UUTKNS.
"Di sini dipersoalkan kenapa menteri besar menterjemahkan titah mesyuarat itu sebagai muktamad? Satu faktor lagi sesuatu mesyuarat tidak sah selagi ia tidak disahkan di mesyuarat seterusnya.
"Jadi sebelum mesyuarat akan datang, datuk-datuk undang yang lain harus hadir, keputusan sudah dibuat. Dengan lain perkataan titah Yang Dipertuan Besar di mesyuarat KDU pada 17 April masih tergantung sehingga mesyuarat akan datang - baru boleh diputuskan.
"DKU tidak ada kuasa untuk buat keputusan sedemikian, dengan kadar yang begitu bolehlah dianggap menteri besar melampaui bidang tugasnya," kata Rais.
Pandangan perlu dirunding
Dia turut memberi penekanan dari segi amalan di Negeri Sembilan - yang mempunyai dua hierarki iaitu Yang Dipertuan Besar sebagai raja bertakhta dan di sampingnya ialah Undang Yang Empat yang tidak boleh diketepikan.
"Hendaklah pandangan mereka (undang) dirunding dahulu dalam sesuatu keputusan, jadi ada dua segmen diraja," tambah Rais lagi.

Rais turut menyifatkan pertikaian yang berlaku itu merupakan satu krisis perlembagaan yang paling sukar di Negeri Sembilan dan boleh dianggap sebagai perkembangan yang agak malang.
"Sebab adat itu sendiri adalah punca kedamaian, keindahan bahasa, ketenteraman, budi bahasa dan lain-lain. Tetapi apabila (pertikaian) pengamal adat, pihak berkuasa kerajaan, pihak Yang Dipertuan Besar, pihak co-ruler atau pemerintah sekutu di kalangan Undang Yang Empat, maka kecelaruan muncul kerana masing-masing menggunakan kuasa dan kedudukan tanpa merujuk kepada apa yang sebenarnya harus dilakukan di sisi undang-undang dan di sisi amali adat itu sendiri," katanya lagi.
Di tanya sejauh mana krisis diraja Negeri Sembilan boleh mencapai jalan penyelesaian, Rais menjangkakan konflik berkenaan mungkin akan berakhir di mahkamah.
"Saya kira akan sampai (ke mahkamah). Mungkin ada bab mahkamah akan tolak, ada bab mahkamah akan benarkan. Tapi sebelum itu yang saya harapkan DKU dan Undang Yang Empat memainkan perananannya dan perananan itu sebenarnya boleh dinasihati oleh menteri besar.
"Sekarang beliau (Aminuddin) dicap sebagai berpihak, nampak berpihak kepada pihak diraja (Yang Dipertuan Besar). Jadi sekarang harus menampakkan beliau adil. Itu terserah kepada menteri besar, beban itu saya pernah tanggung dulu, bukan senang," katanya menjadi menteri besar pada 1978 hingga 1982.





