Empat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dua pegawai bahagian teknologi maklumat agensi itu adalah antara 12 individu ditahan menerusi operasi bersepadu bagi menumpaskan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) berkaitan permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah, petang semalam.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abd Halim Aman berkata turut ditahan dalam operasi dilaksanakan agensi itu dengan kerjasama JIM ialah dua pengarah syarikat, tiga warga asing dan seorang pegawai polis.
Katanya semua suspek berumur lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan antara jam 2 dan jam 5 petang di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang
"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.
“Sebanyak 1,306 PLKS palsu dikeluarkan menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.
Dia berkata operasi berkenaan adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dilaksanakan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Katanya operasi itu turut dibantu Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi SPRM.
Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009.





