Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Sharkar Shamsudin menyifatkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai sesuatu yang tidak menghairankan, memandangkan gaya ceramah Menteri Besar Kedah itu sudah diketahui umum.
Bagaimanapun, Mohd Sharkar berpandangan kenyataan berkenaan mungkin mengguris perasaan sebahagian pengundi di Negeri Sembilan, khususnya berkaitan isu melibatkan kaum dan identiti negara.
"Sanusi ini semua orang tahu dia macam tu, kalau benda itu tak keluar dari mulut Sanusi baru kita rasa pelik.
"Bagi saya ia hanya 'another statement by Sanusi', dia memang akan keluar kenyataan yang pelik-pelik.
"Pada pandangan saya, ia agak 'menghirislah'... takkan kita nak suruh orang Cina balik China, India balik India,," katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Indera Mahkota di Kuantan, Pahang, hari ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Mustafar Kamal Abdul Hamid.
Mohd Sharkar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mengulas mengenai ucapan Sanusi ketika berceramah di Jempol, Negeri Sembilan, malam Khamis lalu.
Dalam ceramah itu, Sanusi didakwa berkata kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis serta berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada perubahan drastik dilakukan.

Sanusi mendakwa keadaan itu berlaku akibat tindakan segelintir pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan prinsip serta mempertahankan parti lawan demi kepentingan politik peribadi.
Pemimpin PAS itu turut menegaskan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang menurutnya mempunyai negara asal masing-masing.
"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada Cina, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya.
Bagaimanapun Sanusi kemudian berkata kenyataannya telah dimanipulasi dan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Dia juga memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap mana-mana pihak cuba memanipulasi kenyataannya.
Menurutnya, apa yang disampaikan hanyalah fakta sejarah dan bukan ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak tertentu.
"Saya sebut benda yang fakta sahaja. Siapa-siapa yang cuba memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik, saya akan saman.
"Saya akan buat laporan polis balas. Saya akan ambil tindakan undang-undang untuk membetulkan keadaan. Jangan cuba memesongkan fakta," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata kenyataan tersebut tidak semestinya memberi kesan besar terhadap sokongan kepada calon BN dan PN di Negeri Sembilan.
"Sebab orang Negeri Sembilan ini, kita tidak tahu bagaimana penerimaan mereka terhadap kenyataan Sanusi itu," katanya.
Kerjasama BN-PN di Pahang
Sementara itu, ketika ditanya sama ada formula kerjasama BN dan PN dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan boleh diterapkan di negeri lain termasuk Pahang, Mohd Sharkar berkata setiap negeri mempunyai keadaan politik yang berbeza.
"Orang Negeri Sembilan tahu apa yang sesuai untuk mereka dan tidak semestinya apa yang boleh dibuat di sana, boleh juga dibuat di Pahang atau di Melaka atau di negeri lain.
"Kita kena lihat suasana politik hari ini dari konteks lebih luas, kita kena fahamlah apa yang berlaku di peringkat Pusat dan negeri adalah entiti yang berbeza," ujarnya
Dalam perkembangan lain, Mohd Sharkar berkata permintaan Umno Bahagian Indera Mahkota supaya diberikan sekurang-kurangnya dua kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang perlu dihormati dan akan dibawa kepada perhatian pimpinan tertinggi Umno Pahang.
"Ini adalah suara dan permintaan akar umbi, jadi kita kena hormat dan kita serahkan kepada pimpinan Umno negeri untuk membuat keputusan.
"Pandangan mereka nak dua kerusi, sama ada kita bergabung atau tak dengan mana-mana parti untuk PRU akan datang, kita tengoklah (kerusi) mana yang lebih sesuai," katanya.
Kawasan Indera Mahkota merangkumi satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN iaitu Semambu serta Beserah.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi memaklumkan dia diberi amanah untuk merampas kerusi Parlimen Indera Mahkota yang kini disandang Saifuddin Abdullah.
Parti Bersama dalam siri jelajahnya pada Jun lalu turut memberi bayangan bahawa kerusi Parlimen Indera Mahkota menjadi antara kawasan sasaran mereka di Pahang.





