Parti Bersama Malaysia (Bersama) membuka permohonan kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk menjadi calon pilihan raya dengan keutamaan akan diberikan kepada calon yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Calon yang berminat perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai ahli dan melalui penilaian tiga peringkat, kata pengasas Bersama, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Proses tersebut memerlukan pemohon mengisytiharkan pendapatan dan aset mereka, selain memberikan maklumat mengenai latar belakang pendidikan, kerjaya dan keluarga.
Menurut kenyataan kedua-dua pengasas parti itu hari ini, pemohon juga perlu menjalani saringan latar belakang, manakala tinjauan kualitatif dalam komuniti setempat akan dijalankan bagi mendapatkan maklum balas mengenai mereka.

Mereka turut memaklumkan terdapat empat kriteria utama yang digunakan dalam proses penilaian:
-Kepakaran dan keupayaan untuk menyumbang nilai kepada masyarakat berdasarkan latar belakang pendidikan, kerjaya dan penglibatan dalam komuniti.
-Saringan terhadap penglibatan politik lampau (jika berkaitan) bagi menyingkirkan calon yang imejnya tidak sesuai dengan Bersama.
-Kesesuaian calon berdasarkan jenis kerusi yang ditandingi – sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri – serta faktor umur, jantina dan etnik.
-Karisma dan imej yang boleh ditampilkan sebagai calon yang mampu mengukuhkan imej Bersama.
“Hanya pemohon yang melepasi saringan peringkat pertama dan kedua akan dipanggil menghadiri temu duga akhir bersama kepimpinan pusat Bersama,” kata mereka.
Rakyat Malaysia yang ingin menawarkan diri menjadi calon parti itu dijemput memohon dengan mendaftar di bersama.org.





