Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mempertahankan keutuhan kerajaan perpaduan negeri di tengah-tengah polemik politik yang semakin memanas, dengan menegaskan pentadbirannya berteraskan kepercayaan serta tekad untuk membela nasib rakyat.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang mendesak agar wakil Umno, Rizam Ismail disingkirkan daripada barisan exco kerajaan negeri.
Dalam nada berhati-hati tanpa menyasarkan mana-mana pihak secara terbuka, Amirudin mengingatkan semua pimpinan dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak terjerumus ke dalam polemik politik sempit.
"Dalam mendepani ketidaktentuan global termasuk risiko krisis tenaga akibat konflik AS-Israel terhadap Iran serta kegagalan moral Barat dalam isu Palestin tumpuan utama kerajaan haruslah kepada solusi, bukannya perpecahan dalaman.

"Tatkala kita menghormati pandangan semua pihak yang disuarakan dalam kerangka demokrasi, itu bukanlah bermakna kita harus memberi pendapat semberono yang boleh mencetuskan ketidakstabilan dan menggugat kepentingan rakyat.
"Justeru itu, saya menyeru terutamanya pimpinan komponen Perpaduan untuk sentiasa berhikmah dalam memberikan pandangan," katanya kepada Malaysiakini.
Amirudin juga menegaskan keperluan para pemimpin untuk kekal memberi keutamaan terhadap isu yang lebih besar.
Sebelum ini, Sathia menggesa menteri besar untuk menilai semula kedudukan Umno dalam pentadbiran Selangor selepas cubaan Umno menumbangkan kerajaan pimpinan PKR di Negeri Sembilan.

Katanya, perkembangan di Negeri Sembilan itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan akar umbi PKR Selangor, malah disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan politik.
"Tindakan Umno di negeri jiran itu (Negeri Sembilan) telah mencetuskan rasa kurang senang dan kebimbangan dalam kalangan akar umbi PKR. Sudahlah Umno tikam kita di Negeri Sembilan. Saya harap ia tidak berulang di Selangor.
"Untuk itu, kita perlu pertimbang kedudukan Umno di kerajaan negeri Selangor. Kalau boleh gantikan wakil Umno di kerajaan negeri dengan pemimpin lain," kata Sathia Prakash kepada Malaysiakini, semalam.
Dari sudut landskap politik, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Selangor menyaksikan PH memenangi 32 kerusi manakala Umno memperoleh dua kerusi dan PN menguasai 22 kerusi.

Keputusan itu sekali gus menamatkan dominasi majoriti dua pertiga PH yang bertahan sejak 2008 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mempunyai 56 kerusi.
Walaupun hanya meraih dua kerusi melalui Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Johan Abd Aziz (Dusun Tua), Umno tetap diberikan perananan dalam pentadbiran negeri.
Rizam kini memegang portfolio penting melibatkan pembangunan luar bandar, kemampanan kampung tradisi, perpaduan nasional serta hal ehwal pengguna dan koperasi.
Mengulas lanjut, Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor menegaskan keperluan untuk pemimpin politik kembali kepada keutamaan sebenar untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Jangan kita hilang fokus dan beralih kepada politik semata-mata.
"Tumpuan kita seharusnya untuk menggembleng ikhtiar memimpin rakyat dengan penuh keinsafan serta tanggungjawab," katanya.
Menurut Amirudin, kestabilan politik Selangor merupakan prasyarat utama bagi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa gangguan dalaman yang tidak perlu.
Pada Isnin (27 April), 14 Adun Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Lima Adun PN kemudian menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan baru.
Dengan jumlah 19 kerusi, gabungan BN dan PN itu mencukupi untuk membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah dalam DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi.
Bagaimanapun, Aminuddin memaklumkan dia telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan dititahkan untuk terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga ada “kejelasan muktamad”.





