Raja Charles menyindir Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada majlis makan malam rasmi Rumah Putih semalam apabila secara berseloroh berkata, bahawa tanpa British, rakyat AS akan bercakap dalam bahasa Peranci, lapor AFP.
Ketika ketua-ketua negara itu saling bergurau senda semasa ucapan makan malam, Charles merujuk kepada komen Trump sebelum ini yang ditujukan kepada sekutu Eropah yang dituduhnya menumpang percuma dalam pertahanan sejak Perang Dunia II.
"Kamu baru-baru ini kata, Tuan Presiden, bahawa jika bukan kerana AS, negara-negara Eropah akan bercakap dalam bahasa Jerman. Saya katakan bahawa, jika bukan kerana kami, kamu akan bercakap dalam bahasa Perancis," seloroh Charles.

Raja itu bercakap tentang tempat-tempat yang mempunyai asal-usul British dan Perancis di Amerika Utara, yang kuasa kolonial yang bersaing itu bertempur untuk menguasai benua tersebut sebelum kemerdekaan AS, 250 tahun lalu.
Pada sidang kemuncak Davos pada Januari, Trump berkata tanpa bantuan AS dalam Perang Dunia II, "kamu akan bercakap dalam bahasa Jerman dan sedikit bahasa Jepun."
Namun kenyataan secara santai raja itu menggambarkan nada mesra ketika baginda dan Trump mengeratkan hubungan melalui "hubungan istimewa" antara London dan Washington, walaupun terdapat ketegangan mengenai peranang di Iran.
Baginda terus bergurau dan mengenakan Trump, dengan berkata, dia tidak dapat mengelak daripada menyedari "pelarasan semula" pada Sayap Timur Rumah Putih, yang telah dirobohkan oleh bekas hartawan hartanah itu untuk membina dewan tarian gergasi bernilai $400 juta.
"Saya kesal untuk kata bahawa kami orang British, sudah tentu, membuat percubaan sendiri dalam pembangunan semula Rumah Putih pada tahun 1814," katanya, merujuk kepada ketika tentera British membakar bangunan itu.
Charles juga berseloroh bahawa majlis makan malam itu merupakan "penambahbaikan yang sangat besar berbanding Boston Tea Party," apabila peneroka mencampakkan muatan kapal teh British yang dikenakan cukai ke laut pada tahun 1773.
Trump – peminat setia kerabat diraja British yang ibunya berasal dari Scotland – menyimpan sebahagian besar humornya untuk sasaran domestik.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Charles kerana telah menyampaikan ucapan yang hebat hari ini di Kongres," kata Trump. "Dia berjaya membuatkan ahli Demokrat berdiri – saya tidak pernah dapat melakukan itu."
Charles yang datang membawa hadiah, iaitu sebahagian daripada usaha memenangi hati Trump selepas presiden itu mengecam Perdana Menteri Keir Starmer berhubung keengganan UK untuk membantu menentang Iran.
Raja itu menyampaikan kepada Trump loceng daripada kapal selam British HMS Trump, yang dilancarkan pada tahun 1944 semasa Perang Dunia II.
"Semoga ia kekal sebagai bukti sejarah bersama negara kita dan masa depan yang cerah. Dan jika kamu perlu menghubungi kami, cuma bunyikan loceng ini," kata raja itu sambil disambut tepukan.





