PARLIMEN l Khazanah Nasional Bhd akan terus melabur dalam syarikat pemula lain di sebalik kerugian lebih RM40 juta yang disalurkan kepada syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata mandat terbabit masih dikekalkan dan pada masa sama mekanisme kawalan bagi pelaburan membabitkan syarikat pemula diperkukuhkan.

"Isu FV tidak akan jejaskan Khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula. Visi itu masih kekal dalam mandat Khazanah.
"Khazanah akan terus berusaha untuk menyokong syarikat pemula dan modal teroka sambil meningkatkan mekanisme kawalan (bagi menangani risiko kerugian dalam pelaburan)," kata Amir Hamzah semasa Waktu Soal Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sedar terdapat elemen ketidakjaminan dalam pelaburan membabitkan modal teroka.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) sama ada kes kerugian dalam FV akan menjejaskan pelaburan Khazanah bagi pelaburan dalam syarikat pemula dan modal teroka.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, tindakan sudah diambil susulan kerugian dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam komitmennya terhadap FashionValet.
“Pelaburan Khazanah dalam FashionValet sudah dibuat tujuh tahun lalu. Sejak itu, pendekatan Khazanah dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak.
“Proses pengundian pelaburan juga diperketatkan termasuk pelaburan dalam syarikat pelaburan dan modal teroka,” katanya.





