Polis Indonesia (Polri) – hasil bekerjasama dengan Interpol dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) –menahan seorang warganegaranya yang dikehendaki terkait dakwaan rangkaian pengedaran dadah di Batam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia 51 tahun itu melarikan diri ke Malaysia dan memasuki negara ini melalui Iskandar Puteri, Johor.
“Suspek dikehendaki oleh polis kerana terlibat dalam pengedaran dadah di pusat hiburan di Batam, Indonesia.
“Polri meminta bantuan Bukit Aman untuk mengesan suspek,” kata Hussein kepada Malaysiakini semalam.
Menurut Hussein, pada 19 Ogos lalu pihak berkuasa – dengan kerjasama Cawangan Khas – berjaya mengesan dan menahan suspek di Iskandar Puteri.
“Dia telah dihantar ke Indonesia untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Sementara itu pihak berkuasa Indonesia mengenal pasti suspek sebagai Basri Lewaimang, yang dikehendaki berhubung dakwaan pengedaran dadah di pusat hiburan di Batam.
Menurut Batam Pos pula, suspek terbabit dikesan di kawasan Johor Bahru dan ditangkap kira-kira jam 12.30 pagi Khamis.
Seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polri berkata pemeriksaan rentas sempadan menunjukkan Basri berkunjung ke Johor menggunakan feri pada 11 Ogos.
Katanya Polri masih menyiasat perananan sebenar Basri, tetapi mendakwa dia menguruskan tiga kelab malam yang berkaitan dengan kes itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polri, Eko Santoso, pula berkata Basri diletakkan dalam senarai dikehendaki oleh pihak berkuasa Indonesia pada 18 Ogos.
“Peranan Basri ialah sebagai pengendali pusat hiburan Planet 1, 2 dan 3, di samping sebagai pengedar dadah yang membekalkan pelbagai jenis dadah untuk diedarkan di situ,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata setakat ini suspek belum mengaku mempunyai kaitan dengan sindiket dadah di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya Bukit Aman sedang meneruskan siasatan untuk menentukan sama ada suspek mempunyai sebarang penglibatan dalam kartel dadah Malaysia atau tidak.
Penyiasat Indonesia mendakwa sekurang-kurangnya 40,000 pil ekstasi diedarkan setiap bulan di pusat hiburan Batam, dengan kuantitinya meningkat dengan ketara apabila tempat-tempat tersebut beroperasi pada kapasiti penuh.





