Lebih 4,200 perwakilan DAP akan mengundi pada 16 Ogos ini bagi menentukan sama ada parti itu patut kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal perkhidmatan semasa atau sebaliknya.
Setiausaha Penganjuran Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata proses pengundian tersebut akan diadakan sewaktu persidangan tahunan parti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurutnya, usul berkenaan akan dibawa oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
"Persidangan ini bakal menjadi tumpuan kerana CEC akan mengemukakan usul yang berbunyi 'persidangan membuat ketetapan sama ada DAP patut kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal parlimen semasa'.
“Kita akan serahlan kepada semua perwakilan yang hadir untuk buat keputusan sama ada akan kekal dalam kerajaan persekutuan atau keluar.
“(Proses pengundian ini) tidak akan guna undian suara atau angkat tangan. Tapi setiap perwakilan akan guna kertas undi. Undi secara rahsia di mana mereka akan dapat satu kertas undi.
“Ada kotak untuk mereka tanda setuju atau tidak setuju. Akan diberi ruang sepenuhnya untuk buat keputusan tanpa apa-apa kerisauan,” kata Khoo pada sidang media di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur petang ini.

Menurutnya, satu sesi perbahasan akan diadakan selepas Loke mengemukakan usul berkenaan dan mereka berharap dapat memperoleh wakil dari setiap negeri untuk mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut.
Anggota Parlimen Kota Melaka itu berkata terdapat seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan DAP yang layak menyertai kongres tahun ini.
Dia menggesa semua mereka untuk menghadiri acara itu kerana ia "sangat penting" dan bakal menentukan halatuju DAP.
Kongres tahunan itu pada asalnya dirancang pada 12 Julai tetapi ditangguhkan bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan.





