NGO Daie Madani bersama beberapa NGO lain hari ini menggesa polis menyiasat Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Pengerusinyna, Amir Zuhair Abdull Khalid, berkata tuduhan yang dibuat Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tidak bersandarkan kepada mana-mana kitab atau sirah yang sahih, justeru menjadikan ia suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
"Setakat yang dia (Nik Zawawi) masukkan adalah daripada ar-Raheeq al-Makhtum, padahal kitab tersebut tidak menjelaskan siapa sahabat yang pada zaman jahiliah yang terlibat dengan perkara tersebut.
"Tidak ada satu spesifik kitab pun dalam sirah Islam ini yang menjelaskan atau yang mengatakan seperti tuduhan dilemparkan oleh Nik Zawawi kepada dua sahabat nabi yang besar itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, wakil Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia serta Angkatan Muda Keadilan.
Amir Zuhair berkata laporan polis dibuat bagi menyeru pihak berkuasa menyiasat Nik Muhammad Zawawi di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
"Inilah adalah tiga akta yang kami masukkan dalam laporan polis supaya Nik Muhammad Zawawi dihadapkan ke muka pengadilan atas ketelanjuran perkataan kepada para sahabat Nabi," katanya.
Beliau juga menyeru ahli politik PAS itu untuk menginsafi perbuatan tersebut, lebih-lebih lagi apabila parti beliau sendiri turut mengkritik tuduhan yang dibuatnya itu.
Sebelum ini, tular video yang memaparkan Nik Zawawi mendakwa Sayidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa zaman jahiliyah, manakala Sayidina Umar al-Khattab pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum dia memeluk Islam.
Kenyataan itu dipercayai disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lepas.
Nik Zawawi hari ini sudah tampil memohon maaf dan mengakui bahawa dia kurang cermat dalam mengolah serta menyampaikan maklumat ketika itu.
“Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosiobudaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya," kata ahli parlimen itu dalam kenyataan yang dikongsi laman Facebook Dewan Ulama PAS Pusat.





