Harga minyak meningkat lebih 1.5 peratus ke paras tertinggi dalam tempoh lebih enam minggu pada Khamis, apabila AS melancarkan pusingan serangan baharu ke atas Iran manakala kumpulan Houthi di Yaman menyasar kapal tangki minyak di Laut Merah.
Reuters melaporkan niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$1.93, atau 2 peratus, kepada AS$96 menjelang 0011 GMT, paras tertinggi sejak 8 Jun. Pada sesi sebelumnya, ia ditutup tinggi lebih AS$3 kepada AS$94.07, hampir mencecah paras tertinggi enam minggu.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS pula melonjak AS$1.44, atau 1.7 peratus, kepada AS$88.27 selepas meningkat hampir 3 peratus pada Rabu.

Sementara itu, pihak tentera AS menyatakan bahawa serangan malam ke-12 berturut-turut dilancarkan ke atas Iran beberapa jam selepas Presiden AS Donald Trump berikrar untuk memusnahkan jambatan atau stesen janakuasa Iran setiap kali negara itu menembak kapal di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan risiko peperanangan dengan Iran.
Pengawal Revolusi Iran berkata, sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas satu letupan ketika cuba melintasi laluan berperiuk api di selatan Selat Hormuz, manakala dua lagi kapal tangki berpatah balik.
Pengawal itu menegaskan selat berkenaan berada di bawah kawalan mereka dan "ditutup sepenuhnya" sepanjang tindakan AS berterusan di rantau itu, selain memberi amaran tiada kapal tangki dibenarkan masuk atau keluar tanpa penyelarasan dengan Iran.
Selain konflik kawalan laluan perairan penting itu yang kembali memuncak, kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran membuka medan peranang baharu dengan mengancam untuk menjadikan kapal yang membawa minyak Arab Saudi di Selat Bab el-Mandeb sebagai sasaran. Mereja juga mengumumkan sekatan laut ke atas Arab Saudi.

Menurut kumpulan Houthi, mereka menjalankan operasi ketenteraan dengan dua kapal tangki minyak Arab Saudi dijadikan sasaran, manakala laporan keselamatan maritim mengesahkan salah satu kapal yang dinamakan kumpulan itu, Encelia yang berbendera Arab Saudi, diserang di Laut Merah.
Kumpulan Houthi turut mendakwa memaksa kira-kira 10 kapal berundur dan berpatah balik selepas memberi amaran kepada kapal-kapal daripada berlayar ke pelabuhan Arab Saudi.
Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebasbuat masa ini.
Sekatan laut kumpulan Houthi ke atas Arab Saudi di Laut Merah mengancam untuk menjejaskan bekalan tenaga global melangkaui rantau Teluk, manakala jurucakap Pengawal Revolusi Iran turut memberi amaran kepada syarikat perkapalan menerusi hantaran di X bahawa laluan selatan Selat Hormuz dipasang periuk api.

Bagi bekalan di AS, stok minyak mentah meningkat sebanyak dua juta tong minggu lepas, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga, berikutan penurunan operasi loji penapis dan penurunan eksport minyak mentah ketika import meningkat. Penganalisis dalam tinjauan Reuters sebelum ini mengunjurkan penurunan sebanyak 1.1 juta tong.





