Kerajaan sedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, laporan itu mungkin diterbitkan hari ini jika kelulusan Jemaah Menteri tidak diperlukan dan dia akan merujuk kepada Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, bagi menentukan perkara itu terlebih dahulu.
"Jika tidak perlu, saya akan terbitkannya hari ini.
“Kalau perlu, saya tunggu Rabu (depan selepas mesyuarat Kabinet) kerana rakyat harus tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Global Ekonomi Manusiawi 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kepada umum akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Dia berkata perkara itu susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
“Saya ingin tegaskan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik TH adalah tidak benar dan palsu.
“Apa yang berlaku sebenarnya ialah operasi menyelamat (bail out) institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum 2018,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Noor Inayah Ya'akub mengenai dakwaan bekas ketua setiausaha perbendaharaan menjual aset strategik TH pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Dia berkata penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) merupakan keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.
Zulkifli berkata Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia telah mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.
Pada masa itu, dia berkata kira-kira RM6 bilion turut dikeluarkan pendeposit dalam tempoh singkat susulan krisis keyakinan manakala usaha mendapatkan pinjaman siap sedia (standby loan) gagal.
Zulkifli berkata kerajaan berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion sekiranya TH runtuh kerana simpanan di institusi itu dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.
Sehubungan dengan itu, dia berkata keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.
Kadar agihan keuntungan juga, menurutnya meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus bagi 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun manakala kos haji kekal selama tiga tahun berturut-turut bermula dari 2024 meskipun berlaku inflasi.





