Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa supaya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menangkap dan mengheret “orang” yang dikatakan “sakau” duit Tabung Haji.
Ini kerana, katanya, rakyat berhak untuk tahu siapa yang sakau.
“Saya mohon kepada YAB PMX untuk tangkap dan dakwa orang yang dikatakan ‘sakau’ duit Tabung Haji tersebut

“Rakyat berhak untuk tahu siapa yang sakau. RCI terhadap Tabung Haji telah dilakukan, maka mohon dedah dan tangkap mereka yang sakau duit Tabung Haji tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Akmal yang juga adalah Adun Merlimau berkata isu “sakau” telah lama diperkatakan tetapi tiada dakwaan yang pernah dibuktikan.
“Sejak dari zaman PMX (Anwar) menjadi pembangkang isu Tabung Haji ini telah diperkatakan, tetapi sehingga hari ini tiada dakwaan telah dibuktikan kepada mana-mana individu.
“Kepada PMX, kami berharap untuk tangkap siapa yang sakau itu,” katanya lagi.
Semalam, ketika berucap di Majlis Santai Petang bersama Perdana Menteri di Ampangan, Seremban, Anwar berkata, dia kesal kerana masih ada pihak tidak mengetahui perbuatan sakau yang terjadi sebelum ini.

Katanya, malah ada pihak yang marah apabila diberitahu mengenai perbuatan sakau termasuk dalam isu membabitkan Tabung Haji dan 1MDB.
“Saya tahulah cerita songlap ini (ada) orang cukup marah. Mana ada songlap, mana ada bukti?.. ehh bilion ringgit orang sakau kamu tak tahu lagi ya?
“Sebut saja Tabung Haji, 1MDB… sebut saja. Beli helikopter.. semua ada kisah,” katanya kepada wartawan.





