Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Setiu hari ini atas tujuh pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki, bulan lepas.
Darusalam Ab Rahman, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.
Bagi tiga pertuduhan pertama, guru berkenaan didakwa berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dengan niat untuk melakukan atau memudahkan perlakuan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Anak Ikan, Besut antara 9.21 malam hingga 2.10 pagi pada 5, 8 dan 10 Mei.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Selain itu, lelaki terbabit turut berdepan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja sama di dalam sebuah kereta di hadapan kedai makan di Kuala Terengganu kira-kira 9 malam dan di hadapan sebuah rumah di Kampung Anak Ikan sekitar 10 malam, pada 11 Mei.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.
Sementara itu, Darusalam turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di sebuah tandas sekolah menengah di Besut kira-kira 4 petang pada 8 Mei, mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang membawa hukuman serupa.
Hakim Ahmad Fadhli membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen di Mahkamah Sesyen Besut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee, manakala tertuduh diwakili seorang peguam yang enggan namanya disiarkan.





