Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 telah melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini sekali gus melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata seramai 16,467 anggota tentera dan polis serta pasangan layak untuk mengundi awal untuk PRN kali ini.
”Proses pengundian, yang bermula 8 pagi, melibatkan 38 pusat pengundian awal di seluruh negeri sebelum ditutup secara berperingkat pada 12 tengah hari hingga 5 petang.
"Sebanyak 18 pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, dua pusat pada 2 petang manakala 18 pusat ditutup sepenuhnya pada 5 petang," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata SPR merakamkan ucapan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan petugas kerana menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.
-- LAGI
PRN NS-SPR (UNDI AWAL) 2 (AKHIR) SEREMBAN
“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung serta tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan melibatkan secara keseluruhan seramai 22,339 pengundi dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.
Sebanyak 867,151 pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu ini.





