Dua lelaki tempatan yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Seri Putra, di Kajang, malam tadi, dipercayai aktif melakukan jenayah samun bersenjata sejak lebih setahun di Selangor dan Melaka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek berusia 25 dan 46 tahun itu mempunyai 30 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, curi kenderaan serta samun.
Beliau berkata modus operanandi kumpulan itu ialah menyasarkan kediaman berhampiran lebuh raya dengan bersenjatakan pistol dan parang, selain bertindak ganas mencederakan mangsa.
“Dalam kejadian pada 9.10 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian D9 JSJ Bukit Aman yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.
"Pasukan polis mengekori kenderaan tersebut sejauh kira-kira 500 meter dan mengarahkan suspek berhenti, namun mereka bertindak memecut laju sehingga berlaku perlanggaran dengan kenderaan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.
Kumar berkata suspek kemudian bertindak melepaskan tembakan ke arah polis, sebelum pasukan polis membalas tembakan menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan maut akibat kecederaan.
“Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis revolver .38 Smith & Wesson, enam butir peluru hidup, tiga kelongsong peluru, empat bilah parang, topeng muka, sarung tangan, peralatan pecah rumah serta tiga keping nombor pendaftaran kenderaan,” katanya.
Beliau berkata polis percaya terdapat saki-baki anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas memandangkan sindiket itu dianggotai kira-kira 10 individu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.





