Bekas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew merancang untuk melancarkan baju edisi terhad yang memaparkan ilustrasi Rukun Negara.
Melalui hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, ahli politik itu berkongsi sekeping gambar yang memaparkan reka bentuk berwarna putih berkenaan yang digayakan oleh tiga model masing-masing kelihatan berbangsa Melayu, Cina dan India.
Baju itu memaparkan ilustrasi yang menggambarkan lima prinsip Rukun Negara.
Liu berkata bahawa hak cipta bagi rekaan baju berkenaan adalah terpelihara di bawah namanya.
"Istimewa T-shirt Rukun Negara Versi 2 edisi terhad. Menarik! Hak cipta @RonnieLiu terpelihara," kata bekas Adun Sungai Pelek, dengan menyertakan tanda pagar #RukunNegara.
Liu juga meminta cadangan daripada orang ramai dan pengikut media sosialnya untuk menamakan tokoh atau pempengaruh terbaik yang layak merasmikan pelancaran baju itu.
Pada hantaran berasingan, Liu meminta pandangan orang ramai harga yang wajar bagi baju berkenaan.
Berdasarkan ulasan yang ditinggalkan warga maya, rata-rata mengecam tindakan Liu dan menyifatkannya seolah-olah mempermainkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Sharafuddin sebelum ini mengarahkan semua Adun Selangor melawat Dataran Selangor bagi membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara.
Saranan itu dikhususkan kepada Liu dan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki yang dilihat mempertikai larangan penternakan babi di Selangor.
Liu telah melawat Plak Monumen Rukun Negara di Shah Alam kira-kira 24 jam selepas dititahkan berbuat demikian oleh Sultan Selangor pada Selasa yang lalu.
Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-13 susulan Peristiwa 13 Mei 1969 yang menggugat perpaduan kaum.
Ia mengandungi lima prinsip utama sebagai panduan untuk memupuk perpaduan, hormat-menghormati dan keharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.





