Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Hamzah Zainudin, mendakwa DAP, sebagai “perkauman sebenar” selepas ditanya adakah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, perlu mengurangkan penggunaan istilah “pendatang” bagi menarik lebih banyak sokongan bukan Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).
Bercakap dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini, ketua pembangkang itu mendakwa DAP mengeksploitasi sentimen perkauman walaupun menampilkan diri sebagai parti pelbagai kaum.
“Kadang-kadang, apabila kita mentafsir ideologi sesebuah parti, kita menilainya seolah-olah ia mewakili sesuatu kaum tertentu. Ambil DAP sebagai contoh.
“Apabila ia meletakkan calon bukan Cina, ia dilihat cuba menampilkan diri sebagai parti pelbagai kaum,” katanya.
Bagaimanapun, Hamzah mendakwa pemimpin DAP akan mengutuk pemimpin politik Melayu dan menuduh orang Melayu sebagai rasis apabila bercakap dalam bahasa Cina.
“Jika bercakap dalam bahasa Cina untuk mengutuk orang Melayu dan mengatakan Melayu rasis kerana mempertahankan Islam, saya fikir itu lebih salah berbanding mereka yang sekadar bercakap di hadapan audiens Melayu mengenai kepentingan umat Islam.
“Salahkah orang Melayu bercakap tentang Islam?” soal Hamzah.
Pada Khamis, Hadi menerusi siri penulisan “Minda Presiden” di Facebook, menyifatkan ahli DAP sebagai “pendatang yang dibawa masuk oleh penjajah”.

Pemimpin PAS itu mendakwa ajaran Islam perlu difahami dengan betul dalam konteks Malaysia yang majoritinya Melayu-Muslim, yang disifatkannya sebagai penduduk asal negara ini.
“Sekiranya ajaran Islam difahami secara akademik yang bermoral, dengan akal yang sihat serta bebas daripada penyakit fanatik, di samping memahami naratif masyarakat majmuk Malaysia yang didominasi oleh Melayu Islam sebagai penduduk asal di rantau Nusantara, bukannya pendatang yang diimport masuk oleh penjajah, yang sebahagian besarnya menjadi penumpang bahtera DAP yang mempunyai destinasinya sendiri, serta turut ditumpang oleh segelintir orang Melayu-Islam yang berperibadi seperti kacang lupakan kulit, maka tanggapan Islamofobia tersebut tidak akan timbul,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya dipecahbelahkan melalui isu sedemikian, sambil menambah bahawa kenyataan Hadi ditujukan khusus kepada DAP.
“Pada pandangan saya, apa yang Tuan Guru Hadi cuba jelaskan adalah tertumpu semata-mata kepada penyalahgunaan isu perkauman oleh DAP di negara ini,” kata Hamzah selepas merasmikan kongres NGO Pertubuhan Perpaduan Puratchi.
Dalam sidang media itu, yang turut dihadiri pemimpin Puratchi, Hamzah mengulangi tawarannya kepada pertubuhan berkenaan untuk mencalonkan seorang wakil yang akan dilantiknya sebagai ahli majlis tertinggi Wawasan.
Ketika ini terdapat seorang wakil India dalam kalangan 35 ahli majlis tersebut.
Mengenai penampilan sulung partinya sebagai komponen PN dalam pilihan raya Negeri Sembilan yang sedang berlangsung, Hamzah berkata kerjasama gabungan itu dengan BN bertujuan utama untuk merampas kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan.
Dia berkata pakatan itu akan mengemukakan naratif kepada pengundi yang berteraskan usaha menggantikan pentadbiran Harapan serta mengutamakan kepentingan rakyat.
“Naratif yang akan kami bawa adalah untuk memberi kefahaman kepada rakyat bahawa kerjasama PN-BN ini, pertama sekali, bertujuan untuk mengambil alih kerajaan daripada PH.
“Bagaimana kita akan lakukan? Kita akan memastikan agenda utama tertumpu kepada kepentingan rakyat,” kata Hamzah.
Tambahnya kerjasama itu akan memberi peluang kepada rakyat Negeri Sembilan untuk membangunkan negeri mengikut keperluan mereka dengan lebih baik.
Menurut Hamzah, PN dan BN akan menyesuaikan strategi mereka mengikut ciri-ciri berbeza setiap kawasan Parlimen dan DUN.
“Kami akan membuat penyesuaian mengikut kawasan Parlimen dan DUN kerana ada yang berada di luar bandar dan ada yang di bandar. Semuanya memerlukan penilaian strategik,” katanya.
“Apabila pemimpin BN dan PN duduk bersama, yakinlah bahawa kita mampu membangunkan Negeri Sembilan,” tambahnya.
Ditanya sama ada Wawasan mempunyai strategi khusus bagi kerusi yang calonnya akan berdepan Bersatu, Hamzah menolak parti lamanya itu sebagai “tidak konsisten dari segi politik”.
“Pada pandangan saya, mereka adalah kumpulan yang tidak perlu kita ambil kira kerana hari ini cakap lain, esok cakap lain.
“Jadi, saya tidak mahu menyebut parti itu,” kata bekas timbalan presiden Bersatu itu.
“Apa yang penting hari ini ialah PN bekerjasama dengan BN untuk menjaga kepentingan rakyat Negeri Sembilan dan membangunkan negeri dengan lebih berkesan,” tegasnya lagi
Kenyataannya dibuat ketika perpecahan antara Bersatu dan PN semakin melebar selepas parti itu mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya Negeri Sembilan menggunakan logo sendiri.
Bersatu meletakkan calon menentang PN di beberapa kawasan selepas membantah kerjasama PAS dengan BN, manakala Wawasan muncul sebagai antara parti yang menyokong pakatan baru PN dengan gabungan tersebut.





