GLOBAL | Harga minyak kekal tinggi meskipun Presiden Donald Trump mengumumkan gencatan senjata dengan Iran akan dilanjutkan ketika pasaran menunjukkan sedikit tanda ketegangan semakin reda, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Minyak mentah Brent bagi penghantaran Jun meningkat seketika melepasi paras AS$100 setong buat kali pertama dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum menurun kepada AS$99, namun masih naik hampir empat peratus pada hari berkenaan.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI), turut meningkat tetapi pada kadar lebih sederhana.
Trump sebelum itu berkata AS tidak akan melancarkan serangan lanjut atas permintaan Pakistan bagi memberi masa kepada Tehran mengemukakan cadangan yang diselaraskan dan memuktamadkan rundingan.
Tanpa lanjutan itu, gencatan senjata berkenaan dijadual tamat pada Rabu dengan Trump memberi amaran bahawa Iran akan berdepan serangan ke atas sektor tenaga dan infrastruktur awamnya.
Bagaimanapun, prospek kemajuan dalam rundingan kekal terhad.
Washington dan Tehran setakat ini masih gagal mencapai persetujuan untuk mengadakan pusingan kedua rundingan walaupun Islamabad berusaha menjadi pengantara.
AS juga berhasrat mengekalkan sekatan terhadap perdagangan maritim Iran, satu langkah yang dilihat Tehran sebagai halangan kepada usaha menghidupkan semula diplomasi.





