29.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Demo Tangkap Azam: Bersih yakin ramai, penganalisis jangka hambar

    Shopee Sale

    Bersih menjangkakan perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadual pada 25 April ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan mendapat sambutan hangat dan menarik kehadiran lebih ramai peserta berbanding sebelum ini.

    Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki semakin mendapat perhatian.

    “Ia bukan isu baru tetapi isu lama yang telah dibahaskan dan dibantah rakyat termasuk oleh pemimpin dan penyokong parti politik khususnya Pakatan Harapan.

    “Isu ini lebih mendapat tempat susulan pendedahan demi pendedahan yang menunjukkan ketempangan SPRM. Kegagalan kerajaan bertindak menambah kemarahan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

    Sekretariat Tangkap Azam Baki sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan itu bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung isu pemilikan saham Azam serta dakwaan salah laku berkaitan “mafia korporat”.

    Sekretariat yang disokong 32 entiti termasuk Bersih itu mendakwa isu berkenaan masih belum menerima penjelasan tuntas daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kerajaan Madani.

    Sementara itu aktivis Mandiri, Ahsanul Akmal pula berkata himpunan itu merupakan siri ketiga demonstrasi dengan jangkaan peningkatan peserta, hasil jelajah ceramah dan kempen mobilisasi gabungan mahasiswa, NGO dan parti politik.

    Dia juga berpandangan penahanan tiga aktivis sebelum ini boleh meningkatkan kemarahan rakyat dan menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk turun ke jalan raya.

    “Rakyat akan kembali ke jalanan dengan semangat perlawanan seperti era kejatuhan Barisan Nasional,” katanya.

    ‘Demo sebelum ini gagal tarik kehadiran besar’

    Bagaimanapun, penganalisis politik berpendapat sebaliknya.

    Menurut Prof James Chin dari Institut Pengajian Asia, Universiti Tasmania, kempen “Tangkap Azam Baki” bukan baru dan perhimpunan sebelum ini di sekitar Sogo, Kuala Lumpur gagal menarik kehadiran besar.

    Katanya, isu pemilikan saham Azam telah pun dijelaskan dan ia lebih berkait dengan urusan perkhidmatan awam dan bukan skandal atau jenayah besar.

    MENARIK:  Setiausaha Negara AS beri amaran agar Iran tak tutup Selat Hormuz

    “Rakyat kini lebih memahami dan memberi perhatian kepada isu-isu yang lebih besar seperti konflik di Gaza, selain mengutamakan kestabilan politik dan ekonomi dalam negara.

    “Namun terdapat pihak tertentu yang dilihat bersungguh-sungguh mengetengahkan isu Azam Baki ini, seolah-olah mempunyai sasaran lain, termasuk kepada Perdana Menteri dan kerajaan semasa,” katanya.

    Pandangan sama turut dikongsi Prof Madya Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur yang berkata kestabilan politik mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menyertai demonstrasi.

    Katanya, isu Azam Baki berkait dengan protokol perkhidmatan awam.

    “Jika dia melanggar peraturan akan tertakluk kepada siasatan dalaman oleh JPA.

    “Jadi adalah jelas bahawa perkara yang dikait dengan Azam Baki itu adalah perkara yang berkait dengan perkhidmatan awam. Ia bukan isu jenayah, bukan masalah penyelewengan menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya.

    Mazlan turut berpandangan sekiranya demonstari itu berjaya menarik kehadiran ramai peserta, ia kemungkinan disebabkan penganjur berjaya memobilisasi orang ramai dan bukan gerakan spontan rakyat.

    “Sekarang rakyat melihat negara dan politik stabil dan PMX berjaya bawa kestabilan, kemajuan, pelaburan yang begitu bagus di peringkat nasional.

    “Jadi rakyat rasa tak mahu layan (demonstrasi seumpama ini) yang pada mereka buang masa. Mereka tidak mahu kepada keadaan yang keruh dan kekacauan kerana rakyat mahu kestabilan.

    “Jadi kalau ada pun yang hadir (pada himpunan tersebut) mungkin itu adalah satu kerahan, bukan gelombang kesedaran rakyat itu sendiri,” tambahnya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah