PRN N SEMBILAN | Pemuda PH (AMH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan kegiatan membeli undi yang dikaitkan dengan BN.
Pengarah Komunikasi AMH, Ammar Atan, berkata mereka mengecam sekeras-kerasnya pemberian wang kepada pengundi – jika benar – seperti yang tular menerusi satu rakaman video, khususnya di kerusi-kerusi yang dikatakan menyaksikan persaingan sengit.
"Jika dakwaan ini benar, ia merupakan satu tindakan yang tidak beretika, tidak berprinsip dan mencemarkan integriti proses demokrasi negara.
"Amalan membeli undi bukan sahaja menghina kebijaksanaan rakyat, malah mengembalikan budaya politik lapuk yang sekian lama ditolak oleh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan AMH itu dipercayai merujuk kepada calon BN DUN Chuah, Pau Jeou Ching.
Bagaimanapun semalam, Pau menafikan tuduhan berkenaan dan sudah membuat laporan polis susulan video tular di media sosial didakwa memaparkan aktiviti agihan wang serta risalah yang dikaitkan dengannya.
Sebelum ini, calon PH, Yew Boon Lye, turut dikaitkan dengan dakwaan membeli undi di kawasan ditandinginya – Chuah.
Yew bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa PKR mengagihkan wang kepada pengundi di kawasan tersebut.
Ia susulan penularan video dan gambar di media sosial yang didakwa memaparkan orang ramai beratur di sebuah restoran di Bukit Pelanduk untuk menerima wang.
Ammar berkata kemenangan dalam sesebuah pilihan raya sepatutnya diraih menerusi idea, rekod perkhidmatan dan keyakinan rakyat, bukannya melalui pemberian wang kepada pengundi.
Sehubungan itu, dia menggesa SPR dan PDRM menjalankan siasatan secara segera, telus dan bebas terhadap dakwaan berkenaan.
"Sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya perlu diambil tindakan tanpa mengira pihak yang terlibat," katanya.





