30.3 C
Kuala Lumpur
Friday, July 31, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KATA ADUN | Jangan ‘tai chi’ isu Tabung Haji

    Shopee Sale

    Mereka sibuk bermain "tai chi" pada perkataan. Sedangkan rakyat sedang menunggu jawapan tentang amanah yang dipertaruhkan.

    Apabila Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dibentangkan, ada pihak yang segera berkata, "Tiada perkataan sakau. Tiada perkataan samun." Seolah-olah itulah ukuran sama ada berlaku salah laku atau tidak.

    Inilah politik mengalihkan perhatian. Inilah "tai chi" politik.

    Hakikatnya, rakyat tidak menunggu satu perkataan tertentu. Rakyat mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku terhadap institusi yang menyimpan amanah jutaan pendeposit Tabung Haji.

    Laporan RCI tidak menggunakan istilah politik seperti "sakau" atau "samun" kerana ia ialah sebuah dokumen rasmi Suruhanjaya Siasatan Diraja. Sebaliknya, laporan itu menggunakan istilah yang jauh lebih teknikal dan serius seperti "perakaunan kreatif", penyembunyian rosot nilai aset, pengisytiharan keuntungan serta hibah ketika mengalami kerugian, selain dakwaan pemalsuan maklumat atau dokumen.

    Lebih penting, RCI turut menyatakan terdapat isu yang berpotensi melibatkan kesalahan jenayah serta mengesyorkan supaya SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia menjalankan siasatan lanjut. RCI juga mengesyorkan audit forensik menyeluruh terhadap pelaburan yang disifatkan sebagai mencurigakan dan bermasalah.

    Justeru, janganlah mengalih perhatian rakyat kepada soal sama ada wujud atau tidak perkataan "sakau" dalam laporan. Persoalan sebenar ialah mengapa Suruhanjaya mengesyorkan siasatan jenayah dan audit forensik jika semuanya didakwa tiada masalah?

    Sejak tahun 2014 lagi, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan surat peringatan kepada pihak pengurusan Tabung Haji dan Menteri yang bertanggungjawab mengenai kedudukan rizab institusi itu. Namun isu tersebut berlarutan sehingga beberapa tahun berikutnya.

    MENARIK:  Fadhlina tawar diri tanding jawatan ketua PKR Nibong Tebal

    Menyalahkan pegawai semata-mata atau bermain "tai chi" untuk mengelakkan tanggungjawab bukanlah sifat seorang pemimpin yang berintegriti. Kepimpinan menuntut keberanian mengakui kelemahan, menerima penemuan secara terbuka dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan.

    Dalam masa yang sama, satu lagi fitnah yang sering dimainkan juga telah terbukti tidak berasas. Tiada sebarang dapatan dalam Laporan RCI yang mengesahkan dakwaan bahawa aset Tabung Haji telah dijual kepada orang bukan Islam atau kepada mana-mana parti politik ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0. Tuduhan yang diulang bertahun-tahun itu tidak disokong oleh penemuan RCI.

    Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah amanah umat Islam di negara ini.

    Atas sebab itu, saya menyeru agar semua syor RCI dilaksanakan dengan segera dan tanpa memilih bulu. Berikan ruang kepada SPRM, PDRM dan agensi berkaitan menjalankan siasatan secara bebas, profesional dan telus. Jika ada salah laku, biarlah undang-undang menentukan. Jika ada yang tidak bersalah, biarlah mereka dibersihkan melalui proses keadilan.

    Rakyat perlukan kebenaran, akauntabiliti dan keberanian mempertahankan amanah.

    "Tai chi" untuk politik ❌

    "Tai chi" untuk kesihatan ✅


    DAVID CHEONG Adun Kajang merangkap Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN PKR Selangor

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah